Rakyat Malaysia berhabis duit makan di luar - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Tabiat ketagih untuk makan di luar membuatkan sebahagian besar daripada pendapatan bulanan rakyat di negara ini dihabiskan bagi memenuhi keinginan tersebut.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, akibat daripada amalan tidak sihat itu juga menyebabkan mereka mengalami penyusutan pendapatan dan menjadi lebih sensitif terhadap inflasi yang mendadak pada harga makanan yang dimasak, walaupun ketika inflasi utama telah menurun.

"Satu-satunya (perkara perbelanjaan isi rumah) yang paling anjal dan sukar untuk diturunkan sebenarnya adalah makanan yang dimasak dan dibawa pulang.

“Itulah sebabnya kita mempunyai dikotomi apabila ia berkaitan dengan inflasi, ia kelihatan sihat. Ia kira-kira 2 peratus, 2.5 peratus.

"Tetapi secara amnya, orang ramai merasakan ini tidak betul kerana mereka merasakan mereka tidak cukup (wang) pada akhir bulan," katanya seperti dilapor portal Malaysiakini.

Ujar Ahli Parlimen Pandan itu, secara purata isi rumah tempatan membelanjakan kira-kira satu pertiga daripada pendapatan boleh guna mereka untuk makanan yang dimasak atau dibawa pulang.

Selain itu katanya, lebih separuh daripada makanan yang dipesan pada aplikasi penghantaran berharga RM30 atau kurang bagi setiap pesanan.

Jelas Rafizi, perbelanjaan makanan untuk kegunaan di rumah, termasuk barangan runcit, secara amnya juga lebih tinggi di Malaysia berbanding kebanyakan ekonomi di Asia.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau menjelaskan, rakyat tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya dalam hal tersebut kerana tabiat itu dakwanya berpunca daripada dasar kerajaan lampau.

Tambahnya, dasar lampau itu termasuklah struktur gaji dan ekonomi Malaysia.

“Di negara lain, makan di luar dilihat sebagai perkara riadah. Kita membelanjakan lebih banyak wang untuk membeli bahan mentah, memasak, dan memakannya, sekali-sekala, kita akan keluar (untuk makan)," katanya.

Menurutnya, dasar pengangkutan awam yang lemah, juga menjadikan kebanyakan isi rumah terpaksa bertahan dengan membungkus makanan.

“Ia juga mengenai masa yang diluangkan oleh orang ramai untuk pergi dan balik dari tempat kerja, dan berapa banyak masa yang ada apabila mereka pulang dari kerja untuk menyediakan makanan.

"Jadi ini semua perkara yang saya fikir adalah akibat yang tidak diingini daripada banyak dasar masa lalu," katanya.