Debaran buat empat calon UMNO Bentong

Dari kiri: Fazlin Norhana, Mohamad Zaini, Amizar, dan Jamaludin
Dari kiri: Fazlin Norhana, Mohamad Zaini, Amizar, dan Jamaludin
A
A
A

BENTONG - [DIKEMAS KINI] Debaran kian terasa buat empat calon Barisan Nasional (BN) menjelang majlis pengumuman calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Rabu ini.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh serta dua Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian tersebut, Datuk Jamaludin Buyong dan Datuk Amizar Abu Adam antara yang berada dalam senarai pendek tersebut.

Sebelum ini, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan telah menyenarai pendek empat daripada enam nama sebagai calon bagi kerusi DUN tersebut.

Dalam pada itu, Mohamad Zaini, 65, menyerahkan segala keputusan terhadap pucuk pimpinan parti.

"Kita tunggu sahaja pengumuman calon yang akan diumumkan pada Rabu nanti.

"Apa-apa yang terjadi, kita bersedia dengan sebarang keputusan ditetapkan oleh parti," kata Zaini yang menyertai UMNO sejak 1978 selain pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Pahang pada penggal 1998 hingga 2001.

Seorang lagi calon dalam senarai pendek tersebut, Jamaludin,60, memberitahu secara jujurnya tiada dalam perancangan untuk menjadi calon dan fokus untuk mencurahkan bakti untuk bahagian tersebut.

"Jika tak terpilih pun, saya tetap bersama UMNO, dulu, kini dan selamanya," kata anak kelahiran Bentong yang juga bekas pemangku Pengarah Urusan TRIpic Berhad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi Amizar, 50, status sebagai anak tempatan iaitu dibesarkan di Felda Chemomoi di kawasan DUN tersebut bukan menjadi penentu atau kelebihan buat dirinya.

"Pada musim pilihan raya, itu antara perkara yang menjadi tumpuan.

Kita tidak boleh menidakkan kemahuan masyarakat dan juga pengundi tapi kita masih berpaksi pada keputusan parti.

"Kita akan akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan parti, debaran itu perkara normal bagi sesiapa sahaja," kata beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bentong.

Dalam pada itu, nama bekas Ketua Puteri UMNO Bahagian Bentong, Fazlin Norhana Ahmad, 40, juga antara dalam senarai pendek terbabit.

Ujar Fazlin, pencalonan itu satu penghormatan buat dirinya selain menyifatkan ia satu cabaran terbesar bersaing dengan calon lelaki yang masing-masing memiliki pengalaman tersendiri.

"Saya terima apa jua keputusan parti dan akan turun berkhidmat membantu parti dalam kempen nanti," kata beliau yang juga AJK bahagian tersebut.

Anak kelahiran Simpang Pelangai, Bentong itu sebelum ini berkhidmat sebagai pembantu khas penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Majlis pengumuman calon akan diadakan di Dewan UMNO Bahagian Bentong pada jam 8 malam, Rabu serta pelancaran jentera parti untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai pada petang hari sama.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Johari pada 17 Ogos lalu.

Allahyarham Johari adalah antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Beliau memperoleh 7,308 undi berbanding 3,260 undi diterima lawannya itu manakala dua lagi calon iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).