Agresif lawan kembali tohmahan yang dilemparkan - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Tidak ada sebab untuk jentera UMNO berdiam diri lagi sebaliknya perlu agresif dan kini adalah masa bersuara khususnya menghadapi pelbagai serangan terhadap parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hakikat berkenaan dapat dilihat dengan pelbagai tohmahan dan pelbagai isu yang ditimbulkan terhadap UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram baru-baru ini.

Menurutnya, isu utama yang akan ditimbulkan pada kali ini khususnya pada PRK DUN Pelangai pula nanti adalah bagaimana rasional bersama Kerajaan Perpaduan, kes mahkamah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi.

“Selain itu ia turut meliputi isu ancaman Islam dan Melayu. Mahu tidak mahu kita kena hadam isu ini... kita tidak boleh defensif semata mata dan perlu ‘attack’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penerangan Isu-Isu Semasa UMNO, di sini, pada Jumaat.

Turut serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, persoalan serta tohmahan yang dibangkitkan oleh pihak tertentu adalah untuk mengelirukan pemikiran rakyat termasuklah dalam kalangan ahli parti.

“Ini antara isu yang akan dimainkan, mereka antara lain mengatakan parti yang bersama kerajaan tidak pertahankan Islam dan Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita perlu terangkan rasional bersama Krajaan Perpaduan perlu dijawab secara politik dan kita menyertai kerajaan bukan secara semberono.

“Begitu juga dengan tohmahan Kerajaan Perpaduan kononnya bergerak ke arah sekular. Apa pun kita kena faham apa itu negara sekular," katanya.

Jelasnya, apabila dikatakan negara sekular sesebuah negara tidak boleh ada sebarang unsur agama. Bukankah sudah jelas kita boleh buat macam-macam di negara ini kerana Islam agama Persekutuan

“Kita perlu jawab dalam pelbagai ruang medium media TikTok, komen-komen dan sebagainya... ini sahaja peluang untuk kita sama-sama kukuhkan parti.

Ini peluang kita, ALLAH berikan peluang jadi kerajaan kembali dan kita sama-sama muhasabah dengan satukan hati kita.

"Cukuplah ada kem sana-sini, kluster A dan B, kitalah yang mempertahankan partI kita tengok dah penganiayaan terhadap presiden selama lima tahun ini,” ujarnya lagi.