India tingkat langkah bendung penularan jangkitan Nipah

Pihak berkuasa negeri Kerala di selatan India telah meningkatkan langkah-langkah pengawasan untuk membendung penularan jangkitan Nipah. - Foto AFP
Pihak berkuasa negeri Kerala di selatan India telah meningkatkan langkah-langkah pengawasan untuk membendung penularan jangkitan Nipah. - Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Pihak berkuasa negeri Kerala di selatan India telah meningkatkan langkah-langkah pengawasan untuk membendung penularan jangkitan Nipah, kata pegawai pada Sabtu.

Xinhua melaporkan bahawa langkah-langkah telah ditingkatkan di daerah Kozhikode, yang mana enam kes telah dikenal pasti. Empat daripadanya adalah kes aktif manakala dua lagi meninggal dunia.

Penyiar All India Radio (AIR) berkata, seramai 1,080 orang telah dimasukkan dalam senarai kontak rapat pesakit Nipah di Kozhikode, di mana 297 orang berada dalam kategori berisiko tinggi.

"Mereka dalam senarai kontak rapat ini dikuarantin dan sampel cecair badan mereka telah dihantar untuk ujian," kata penyiar tersebut memetik pegawai kerajaan sebagai berkata.

Menurut AIR, petugas kesihatan telah memantau lebih daripada 15,000 rumah di Kozhikode setakat ini sebagai sebahagian daripada pemantauan mereka.

Laporan mengatakan selepas seorang penduduk di Cheruvannur diuji positif Nipah pada Jumat, pentadbiran tempatan mengisytiharkan kawasan lima kilometer sekitar kediaman tersebut sebagai zon pembendungan.

Kawalan perimeter yang ketat telah dikenakan di beberapa kawasan tempatan yang terletak di bawah Majlis Perbandaran Kozhikode. Pegawai telah memasang penghadang untuk menghadkan akses ke kawasan terjejas.

Pentadbiran daerah di Kozhikode telah mengarahkan semua institusi pendidikan untuk mengadakan kelas secara dalam talian untuk pelajar-pelajar sehingga 24 September.

Artikel Berkaitan:

Kerala kali pertama menyaksikan wabak virus Nipah pada 2018 di daerah Kozhikode dan Malappuram, meragut 17 nyawa. - Bernama