Rezeki makan ikan darat - Tok Batin

Peserta menunjukkan hasil mengoca masing-masing.
Peserta menunjukkan hasil mengoca masing-masing.
A
A
A

JELEBU - Tradisi mengoca tidak asing bagi masyarakat di Negeri Sembilan apabila lebih 300 penduduk dari tujuh kampung di sekitar Chennah termasuk Orang Asli di sini bermandi lumpur menangkap beratus ikan leekoh dan keli menggunakan tangan.

Mereka berkumpul dan mengambil bahagian dalam Pesta Mengoca sempena Hari Malaysia yang diadakan di sebuah kolam ternakan udang di Kampung Esok pada Sabtu dengan menawarkan ikan leekoh dianggarkan seberat 400 hingga 600 gram.

Pengerusi Persatuan Belia Berlian Chennah, Muhammad Khairol Izwan Yasin berkata, program bermula pada jam 8 pagi itu dianjurkan pihaknya berikutan mengoca sangat diminati penduduk.

"Bukan sahaja orang Melayu yang suka mengoca, ia turut diminati Orang Asli dan tidak hairan apabila mereka datang bersama ahli keluarga untuk mengoca yang menjadi wadah mengeratkan hubungan antara komuniti setempat.

Peserta dibenarkan mengguna sauk dan besen berlubang sahaja
Peserta dibenarkan mengguna sauk dan besen berlubang sahaja



"Kita anjurkan pesta mengoca memandangkan ia antara program mudah untuk dilaksanakan malah semua orang tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa sangat suka 'berkubang' sambil mengoca ikan," katanya.

Program anjuran Persatuan Belia Berlian Chennah dan Pemuda UMNO Chennah turut mendapat kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Perikanan, Majlis Gabungan Belia Daerah Jelebu, Balai Polis Kampung Chennah, Sekolah Kebangsaan Datuk Undang Abdullah dan UMNO cawangan Chennah.

Sementara itu Ketua Daerah Perikanan Jelebu, Mohd Azhar Jusoh berkata, 300 ekor ikan leekoh dan 100 ikan keli yang disumbangkan penternak sekitar Jelebu dilepaskan ke dalam kolam sebelum aktiviti mengoca dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Jala, jeramak dan bakul buah tidak dibenarkan untuk diguna. Peserta dibenarkan mengguna sauk dan besen berlubang sahaja," katanya.

Bagi peserta, Tok Batin Orang Asli Kampung Tohor, Apik Keteh berkata, mahu program seperti itu diteruskan pada masa akan datang kerana ia memberikan kegembiraan kepada peserta.

"Rezeki kita melalui aktiviti mengoca banyak ikan. Boleh dijadikan lauk untuk kami sekeluarga, lagi anak-anak juga suka makan ikan darat," katanya.