Peruntukan RM40 juta untuk Marris selenggara jalan di Kedah

Zamri (dua kanan) merasikan gimik Majlis Kerja Undi Bagi Projek Penyelenggaraan Jalan Di Bawah Peruntukan Marris 2019 Daerah Kota Setar di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBA), dekat sini hari ini.
Zamri (dua kanan) merasikan gimik Majlis Kerja Undi Bagi Projek Penyelenggaraan Jalan Di Bawah Peruntukan Marris 2019 Daerah Kota Setar di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBA), dekat sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak RM40 juta diperuntukkan pada 2019 bagi kira-kira 400 projek penyelenggaraan jalan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) di seluruh Kedah yang akan bermula dua hingga tiga bulan dari sekarang.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah, Zamri Yusuf berkata, bagi tujuan tersebut, lebih kurang 600 kontraktor kelas G1 yang berdaftar sehingga hujung April lalu layak untuk mengikuti proses undi bagi pusingan pertama projek penyelenggaraan jalan di bawah peruntukan Marris 2019 di negeri ini.

Menurutnya, bermula tahun ini terdapat projek di mana nilainya juga dinaikkan dari RM50,000 sehingga RM150,000 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Ini salah satu daripada dua permintaan pihak kontraktor yang dilakukan dengan segera bermula tahun 2019 selepas sesi dialog dan perbincangan yang dilakukan beberapa kali pada tahun lalu.

"Hasil perbincangan sebelum ini, kita mendapati kontraktor kelas G1 kurang mahir, namun dengan peluang sebegini kontraktor-kontraktor berpeluang untuk membina syarikat menjadi lebih kukuh hasil pengalaman berdasarkan projek yang diperolehi selepas berjaya dalam proses cabut undi," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kerja Undi Bagi Projek Penyelenggaraan Jalan Di Bawah Peruntukan Marris 2019 Daerah Kota Setar di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), dekat sini hari ini.

Seorang kontraktor kelas G1 menunjukkan bola putih yang mempunyai nombor diambil dari kotak hitam sebagai tanda berjaya dalam proses kerja undi sambil disaksikan oleh semua kontraktor dan pemerhati-pemerhati yang hadir.
Seorang kontraktor kelas G1 menunjukkan bola putih yang mempunyai nombor diambil dari kotak hitam sebagai tanda berjaya dalam proses kerja undi sambil disaksikan oleh semua kontraktor dan pemerhati-pemerhati yang hadir.

Zamri berkata, bagi kontraktor-kontraktor G1 yang gagal dalam proses kerja undi pertama berpeluang pada pusingan seterusnya dan nama-nama kontraktor yang berjaya pada pusingan pertama akan dikeluarkan dari senarai proses kerja undi akan datang.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, beliau menasihatkan kepada semua kontraktor yang berjaya pada pusingan pertama ini memberikan perhatian kepada proses penyelenggaraan jalan dengan mengutamakan keselamatan pekerja dan pengguna jalan raya kerana semua projek akan berjalan serentak di negeri ini.

"Saya mahu mengingatkan kepada kontraktor agar membuat kerja dengan mengikut peraturan supaya staf dan orang ramai selamat.

"Apabila projek-projek ini bermula ia menyebabkan sedikit sebanyak membuatkan pengguna jalan raya juga akan terganggu," katanya.

Tambah Zamri, semua projek tersebut diagihkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan Saliran dan pejabat-pejabat daerah sebelum proses undi dijalankan mengikut tempat.

Menurutnya, di Kota Setar sahaja sebanyak 180 kontraktor kelas G1 mengikuti proses undi di Dewan MBAS bagi mendapatkan 44 projek penyelenggaraan di daerah ini.