Pemerkasaan standard halal lonjak perkembangan industri

Malaysia peneraju ekosistem halal global

A
A
A

ANWAR IBRAHIM
ANWAR IBRAHIM



MENCARI sesuatu yang halal (yakni yang diperbolehkan dalam syariat Islam) adalah merupakan kewajipan ke atas semua umat Islam. Dalam Al-Quran, terdapat beberapa firman Allah SWT yang menyentuh perkara berhubung dengan halal. Antaranya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 168 yang mana Allah SWT berfirman:

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu."

Allah SWT telah mensyariatkan kita untuk mengaplikasikan halal dalam kehidupan seharian bukan sahaja apa yang dimakan dan dipakai, namun juga meliputi semua aspek kehidupan.

Definisi halal adalah sangat luas dan bukan sahaja khusus untuk mereka yang menganut agama Islam sahaja. Sebaliknya, peningkatan jumlah pengguna halal daripada populasi bukan Islam di seluruh dunia telah meletakkan industri halal berada di platform pertumbuhan yang eksponen.

Di zaman moden ini, halal meliputi segenap aktiviti yang dilakukan di dalam kehidupan masyarakat termasuklah produk penjagaan diri, ubat-ubatan, perkhidmatan dan pengkomersialan yang berkaitan dengan industri halal itu sendiri.

Ia juga semakin menjadi piawaian pilihan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Islam, tetapi juga bukan Islam.

Malaysia sebagai peneraju ekonomi halal global

Artikel Berkaitan:

Perkara ini telah ditegaskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap melancarkan Global Halal Summit (GHaS) 2023 di Kuala Lumpur pada 12 September baru-baru ini.

Pada persidangan antarabangsa itu, Anwar menegaskan betapa dalam pertemuan beliau dengan pemimpin-pemimpin dari Jepun, China dan Korea Selatan yang kini merupakan gergasi ekonomi dunia, satu subjek yang acap kali dibangkitkan ialah industri halal dan Malaysia sebagai pusat pengeluaran pensijilan halal yang diiktiraf dunia.

Menurut Perdana Menteri itu, adalah satu kelebihan yang perlu disedari dan perlu direbut sepenuhnya oleh negara.

Anwar dan Ahmad Zahid (kiri) meninjau salah satu produk halal tempatan yang dipamerkan sempena majlis pelancaran Global Halal Summit (GHaS) 2023 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Anwar dan Ahmad Zahid (kiri) meninjau salah satu produk halal tempatan yang dipamerkan sempena majlis pelancaran Global Halal Summit (GHaS) 2023 di Kuala Lumpur pada Selasa.

“Ketika lawatan rasmi saya ke Vietnam dan Laos baru-baru ini, dalam rundingan dua hala yang diadakan, saya ditanya secara terperinci mengenai aspek persijilan halal dan ekosistem industri halal dan mereka memohon bantuan Malaysia di dalam melatih dan membuka laluan kepada pewujudan rangkaian produk halal di negara mereka.

“Kenapa kita ditanya? Ia adalah kerana dunia mengiktiraf ketelitian dan ekosistem yang kita wujudkan di dalam industri halal,” kata Anwar dalam ucapannya semasa persidangan GHaS itu.

Malah, konsep Ekonomi MADANI yang dilancarkan Kerajaan Perpaduan telah menzahirkan aspirasi untuk pembangunan negara melalui pengukuhan perdagangan termasuk industri halal yang lebih inovatif dan berdaya saing.

Aspirasi ini meletakkan Malaysia di landasan yang betul dengan keutamaan yang ditetapkan untuk memupuk daya saing industri halal yang inklusif sebagai salah satu daripada strategi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk mempercepatkan pembangunan industri yang berimpak tinggi.

Pertumbuhan sektor halal bukan sahaja didorong oleh populasi Islam di seluruh dunia, tetapi terdapat faktor-faktor lain seperti nilai tambah, kebersihan dan keasliannya yang mana ia menjadikan produk halal Malaysia berada di kedudukan yang tinggi serta menjadi pilihan utama pengguna di negara bukan Islam.

Malaysia telah lama menjadi peneraju industri halal. Kerajaan telah giat membangun dan meningkatkan ekosistem halal termasuklah menjalankan penyelidikan serta pewujudan infrastruktur yang baik dan diiktiraf untuk menyokong perkembangan sektor halal negara.

Usaha ini dapat dilihat melalui:

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merupakan agensi yang bertanggungjawab bagi pensijilan halal. Logo Halal JAKIM Malaysia mempunyai reputasi yang sangat baik serta jaminan bahawa produk serta perkhidmatan yang ditawarkan adalah berdasarkan piawaian yang ditetapkan dengan integriti yang diyakini.

Ekosistem halal negara diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Halal Development Corporation Berhad (HDC) yang bertanggungjawab membangunkan industri halal. Ekosistem industri ini tidak hanya perlu bertumpu kepada produk makanan dan minuman sahaja, namun perlu diperluaskan kepada produk lain seperti kosmetik dan farmaseutikal serta perkhidmatan seperti perbankan dan takaful.

Anwar (tiga dari kiri) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika pelancaran Global Halal Summit (GHaS) 2023 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Anwar (tiga dari kiri) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika pelancaran Global Halal Summit (GHaS) 2023 di Kuala Lumpur pada Selasa.

Ekosistem yang kukuh ini membolehkan Malaysia menjadi peneraju industri halal global yang kompetitif dengan menghubungkan kerajaan, pemain industri serta para pengguna dalam rantaian nilai halal. Melalui penciptaan peluang, pelaburan, perdagangan, pekerjaan, perkongsian maklumat dan pemindahan teknologi dalam rantaian nilai halal, kita mampu menjadikan industri ini lebih kompetitif dan berdaya saing bagi menangani cabaran perdagangan global.

Jabatan Standard Malaysia (JSM) turut berperanan untuk memartabatkan industri halal Malaysia sebagai satu penanda aras terhadap nilai kualiti serta tahap keselamatan sesuatu barangan yang menepati piawaian atau standard antarabangsa dan ia tidak terhad kepada pasaran di negara Islam semata-mata.

Kita berbangga apabila Malaysia menjadi negara pertama mewujudkan “Malaysian `Standards” atau MS berkaitan halal yang menjadi rujukan kepada negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sebagai pelengkap kepada ekosistem dan ekonomi halal Malaysia, GHaS 2023 akan terus mengekalkan momentum halal ini dengan menyediakan lebih banyak peluang baharu.

Penganjuran GHaS ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam mempromosi serta mengekalkan reputasi halal, bukan setakat di Malaysia sahaja namun juga di peringkat antarabangsa.

GHaS telah membuka ruang dan peluang serta menjadi platform terbesar kepada semua pemain industri halal dunia, sejajar dengan sasaran kita untuk terus menjadikan Malaysia negara pilihan utama bagi produk dan perkhidmatan halal di peringkat antarabangsa.

Seterusnya GHaS, khususnya melalui program ikoniknya MIHAS, turut berfungsi sebagai pilihan terbaik untuk pemain industri menjalin hubungan dengan rakan-rakan perniagaan dari seluruh dunia.

Memperkasa strategi Malaysia sebagai peneraju global dalam industri halal

JAKIM selaku badan yang diiktirafkan oleh kerajaan, bertanggungjawab mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berdasarkan standard halal yang dibangunkan dengan kerjasama JSM. Sejumlah 15 standard telah dibangunkan bagi sektor halal merangkumi skim makanan dan minuman, farmaseutikal, logistik, kosmetik, ujian makmal halal dan perkhidmatan hospitaliti mesra Muslim.

Industri halal dan pensijilan halal Malaysia adalah satu kelebihan yang perlu disedari dan perlu direbut sepenuhnya oleh para pemain industri halal.
Industri halal dan pensijilan halal Malaysia adalah satu kelebihan yang perlu disedari dan perlu direbut sepenuhnya oleh para pemain industri halal.

Hari ini, kita berada di ambang evolusi industri halal yang mengagumkan yang dipacu oleh permintaan berterusan dari pasaran global. Bagi melindungi cap dagangan Halal Malaysia sebagai harta intelek yang amat bernilai, JAKIM telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan proses pendaftaran cap dagangan Halal Malaysia di luar negara melalui SIRIM Berhad.

Sehingga kini, cap dagangan atau logo Halal Malaysia ini telah didaftar dan digunapakai di 26 buah negara antaranya Amerika Syarikat, Brazil, Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan, Mesir, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Kazakhstan.

Buat julung kalinya juga, pemain industri di luar negara berpeluang untuk membuat permohonan secara terus kepada JAKIM bagi pensijilan Halal Malaysia melalui inisiatif terbaharu iaitu International Direct Application for Malaysian Halal Certification.

Pensijilan Halal Malaysia antarabangsa ini merangkumi tujuh skim yang merangkumi produk makanan dan minuman, kosmetik, farmaseutikal, barang gunaan, perkhidmatan logistik, peranti perubatan serta pengilangan kontrak.

Inisiatif ini perlu dilihat sebagai satu gerbang yang menghubungkan kita kepada peluang tanpa sempadan. JAKIM meneruskan usaha itu dengan memperkenalkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Antarabangsa) 2023.

Garis panduan yang telah dirangka secara komprehensif itu berfungsi sebagai pemandu arah bagi pemain industri halal bertapak di peringkat global. Ini bertujuan untuk memelihara integriti dan keyakinan pengguna terhadap logo Halal Malaysia, terutamanya dalam landskap global yang lebih kompleks dan mencabar.

No Image Caption

Usaha JAKIM ini juga menjadi pemangkin kepada negara-negara lain untuk mengikut jejak langkah Malaysia yang merupakan perintis industri halal dunia. Sinergi kerjasama di antara kerajaan Malaysia dengan badan-badan pensijilan antarabangsa serta para pemain industri halal mampu menangani cabaran ekonomi dunia semasa selain mendorong negara memperkasakan lagi industri halal global.

Atas sebab itulah, seruan Perdana Menteri supaya para pemain industri halal negara memanfaatkan sepenuhnya ekosistem Halal Malaysia perlu dilihat secara serius melalui penerokaan serta penciptaan peluang pasaran halal global yang lebih besar.

Pada masa sama, sebagai hab halal utama global, secara tidak langsung akan membolehkan Malaysia menyumbang kepada bahagian pasaran (market share) halal dunia yang dijangka berkembang 3.5 peratus setiap tahun dengan jangkaan nilai AS$2.4 trilion (RM11.2 trilion) pada tahun 2024.