Jejak warisan tamadun Kedah Tua

Peserta Discover Ancient Kedah Geoarchaeological Heritage Trail menjelajah ke Tapak Tamadun Awal Asia Tenggara di Sungai Batu Kedah.
Peserta Discover Ancient Kedah Geoarchaeological Heritage Trail menjelajah ke Tapak Tamadun Awal Asia Tenggara di Sungai Batu Kedah.
A
A
A

MERBOK – Pengkaji mahupun pencinta sejarah dipelawa melakukan kunjungan balas ke Thailand dalam konteks lawatan akademik sekali gus menjelajah ke selatan negara itu yang pernah berada bawah pentadbiran kerajaan Kedah Tua suatu ketika dahulu.

Peserta Discover Ancient Kedah Geoarchaeological Trail, Ilham Mokhtar berkata, kunjungan rakyat Kedah khasnya dan Malaysia amnya ke negara jiran itu bukan sahaja dapat meluaskan pengetahuan dalam masa sama,boleh menjejaki sempadan asal pentadbiran kerajaan Melayu kuno sebelum abad ke-19.

Pelajar Seni dan Sains Sosial Universiti Putera Songkla itu berkata, kunjungan balas berkenaan bukan sahaja dapat berkongsi maklumat sejarah antara kedua-dua negara, sebaliknya menjalinkan kemesraan antara generasi baharu dan akan datang.

“Jika saya boleh sampai ke sini untuk menyertai ekspedisi menjelajah tapak warisan yang dirasakan cukup teruja, saya juga ingin mengajak semua untuk ke Thailand kerana ‘kita’ pernah berada bawah pentadbiran yang sama,” jelasnya semasa menyertai Discover Ancient Kedah Geoarchaeological Trail di sini pada Rabu.

Pakar arkeologi, Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin (kiri) memberi penerangan tentang tinggalan artifak di Sungai Batu.
Pakar arkeologi, Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin (kiri) memberi penerangan tentang tinggalan artifak di Sungai Batu.

Berhubung penglibatannya dalam program berkenaan yang dianjurkan selama tiga hari dua malam, Ilham menceritakan, ia merupakan satu pengalaman bernilai kerana berpeluang melihat sendiri tinggalan sejarah yang pernah mengaitkan kedua-dua negara.

“Sejarah ini juga menakjubkan apabila mengetahui bahawa kawasan ini asalnya merupakan dasar laut,” jelasnya.

Rakan senegara, yang merupakan Pelajar Seni dan Sains Sosial Universiti Fatoni, Susi Dueramae berkata, perkongsian sejarah berhubung Tapak Tamadun Awal Asia Tenggara di Sungai Batu di sini merupakan pengalaman begitu berharga apabila melihat sendiri sisa peleburan besi dan artifak yang membuktikan ia wujud sekitar 788 sebelum Masihi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebagai duta kecil negara Thailand, hasil ekspedisi yang diikuti termasuk gambar dan video akan dikongsikan kepada rakan lain di wilayah berkenaan.

Selain itu, Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Lebai Man, Muhammad Irfan Zamri berkata, melalui maklumat diperolehi menunjukkan tamadun Kedah Tua suatu ketika dahulu merupakan generasi yang hebat dalam industri peleburan besi.

Peserta Discover Ancient Kedah Geoarchaeological Heritage Trail bergambar di Tapak Tamadun Awal Sungai Batu.
Peserta Discover Ancient Kedah Geoarchaeological Heritage Trail bergambar di Tapak Tamadun Awal Sungai Batu.

Berkongsi pengalaman sama, Pelajar SMK Agama Yan, Muhammad Izzat Abd Syahid berkata, peluang berada di tapak prasejarah itu membuktikan fakta yang diperolehi bukan sahaja bernilai kepada negara malah sejarah dunia.

Rakannya, Muhammad Zakwan Zulhezri berkata, selain mengetahui tentang aktiviti ekonomi masyarakat tamadun awal, peserta juga didedahkan dengan sistem barter antaranya membabitkan rempah-ratus, hasil tanaman dan buah-buahan sebagai kaedah transaksi penukaran barangan.

Program yang dilaksanakan membabitkan kira-kira 60 peserta itu menjelajah sekitar kawasan arkeologi dan geologi yang diiktiraf sebagai Jerai Geopark termasuklah Kota Kuala Muda, Yan, Sungai Merbok dan Sungai Batu.

Siri pertama yang bermula dari 11 hingga 13 September disertai dua wakil dari negara Thailand manakala siri kedua yang bermula 14 hingga 16 September ini disertai lapan wakil negara itu termasuk mahasiswa dari lima wilayah Selatan Thailand.

Sebelum ini media melaporkan, penemuan tapak ekskavasi Sungai Batu membuktikan kewujudan pusat peleburan bijih besi dunia yang wujud pada 788 Sebelum Masihi sekali gus merupakan tamadun tertua di Asia Tenggara.