Petronas sah penaja perdana LTdL

Hannah (tengah) dan Anita (dua dari kiri) memegang replika jersi pendahulu keseluruhan Petronas LTdL 2023 pada Majlis Pengumuman Penaja Perdana LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil sebentar tadi.
Hannah (tengah) dan Anita (dua dari kiri) memegang replika jersi pendahulu keseluruhan Petronas LTdL 2023 pada Majlis Pengumuman Penaja Perdana LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil sebentar tadi.
A
A
A

PETRONAS secara rasmi diumumkan sebagai penaja perdana perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) selama tiga tahun berturut-turut mulai edisi 2023 yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September ini.

Lebih menarik, syarikat gergasi minyak dan gas multinasional Malaysia itu akan turut menaja jersi pendahulu keseluruhan Petronas LTdL yang memasuki edisi ke-27 tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abd Aziz berkata, pihaknya berbesar hati menyertai 'keluarga' perlumbaan berstatus ProSeries itu sebagai penaja perdana.

“Mewakili pihak Petronas, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana telah menjadikan LTdL sebagai satu acara berprestij.

“Sebagai penaja perdana, kami yakin bahawa kerjasama ini sebagai satu langah penting untuk meningkatkan martabat serrta kualiti acara sukan berbasikal di Malaysia.

“Kerjasama ini mencerminkan tekad Petronas untuk turut serta membina masa depan yang lebih gemilang bagi sukan berbasikal negara bersama-sama KBS dan MSN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Penaja Perdana LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil sebentar tadi yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Turut hadir Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hannah berkata, selaku penaja perdana, Petronas diberikan 'hak nama' dalam semua penjenamaan acara LTdL termasuk penggunaan logo rasmi.

“Kehadiran Petronas amat dialu-alukan, KBS berasa bangga dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Petronas atas kesudian sebagai penaja perdana LTdL 2023.

“Saya pasti keputusan itu akan memberi nilai tambah kepada penajaan Petronas. Dengan ruang promosi yang diberikan MSN, ia mampu memberikan pulangan berlipat kali ganda dengan jumlah tajaan itu,” jelasnya.

Untuk edisi kali ini, 22 pasukan sudah mengesahkan penyertaan iaitu dua pasukan berstatus WorldTeam (WT), lapan pasukan ProTeam (PT), 11 pasukan benua termasuk skuad kebangsaan Malaysia.

LTdL 2023 akan bermula dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 184.4 kilometer (km); Peringkat 2 Kuala Terengganu ke Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli ke Baling (177.1km) dan Peringkat 4 Bukit Mertajam ke Meru Raya (140km).

Peringkat 5 diteruskan dari Slim River ke Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak ke Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar ke Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 157km.