Amanah rancang keluar akhbar harian

Amanah
Amanah
A
A
A

IPOH - Parti Amanah bercadang mengeluarkan akhbar harian sebagai antara langkah untuk mengukuhkan parti itu melalui penyampaian mesej parti kepada orang ramai.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, langkah itu juga merupakan usaha untuk membuktikan parti itu yang ditubuhkan pada 2015 aktif seperti parti lain.

“Perjuangan kita nak kukuhkan parti Amanah antara yang terbaik adalah melalui surat khabar khususnya di kawasan pedalaman, kalau surat khabar kita sendiri, kita pun tak sokong macam mana kita nak gerakkan (surat khabar harian),” katanya.

Abdul Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian dalam ucapan penangguhan dan penggulungan pimpinan nasional Konvensyen Nasional Amanah 2018 di sini hari ini.

Beliau berkata, akhbar parti itu sebelum ini dikenali sebagai Amanah dan terhad kepada anggota sahaja, kini ditukar nama kepada Mingguan Amanah dan dijual di kedai secara terbuka dengan harga RM2 bagi Semenanjung Malaysia dan RM2.50 bagi Sabah serta Sarawak.

Sehubungan itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam meminta semua pihak termasuk anggota dan pimpinan di peringkat kawasan serta negeri memberi sokongan dengan membeli akhbar berkenaan.

"Apabila akhbar (akhbar Mingguan Amanah) laris makin ramai yang beli, maka kita boleh keluarkan banyak iklan, bila tak laku tak ada orang beli nak keluar iklan tak boleh.

"Bila orang dah banyak keluarkan iklan, kita banyak duit dan kalau boleh kita nak keluarkan surat khabar harian,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: