Wanita maut, tiga anak sesak nafas dalam kebakaran

Anggota bomba memadamkan kebakaran di tiga buah bangunan rumah kedai di Jalan Senyum, Kampung Wadi Hana, Johor Bahru pada Rabu.
Anggota bomba memadamkan kebakaran di tiga buah bangunan rumah kedai di Jalan Senyum, Kampung Wadi Hana, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita meninggal dunia manakala tiga anaknya sesak nafas dalam kebakaran di tiga buah rumah kedai di Jalan Senyum, Kampung Wadi Hana di sini pada Rabu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Faiz Suleiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.53 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 49 anggota dari BBP Larkin, BBP Tebrau, BBP Johor Jaya dan BBP Kempas dibantu lapan jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran melibatkan tiga buah bangunan rumah kedai dua tingkat jenis separuh kekal yang berkeluasan 7.3 X 34 meter setiap satu bangunan tersebut yang bernombor 3,4 dan 5.

"Bangunan pertama mengandungi sebuah kedai dan lima pintu bilik sewa telah terbakar sebanyak 70 peratus.

"Bangunan kedua pula mengandungi sebuah kedai dan lima pintu bilik sewa telah terbakar sebanyak 90 peratus manakala bangunan ketiga mengandungi sebuah kedai dan tiga pintu bilik sewa terbakar sebanyak 65 peratus," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, terdapat sebuah keluarga melibatkan empat mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan dari sebuah bilik yang sedang terbakar.

Katanya, mangsa terdiri daripada seorang wanita dewasa berumur 53 tahun dan tiga anaknya iaitu dua lelaki berusia 21 dan 18 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan akibat sesak nafas.

"Bagaimanapun wanita dewasa berkenaan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di HSA. Operasi tamat pada jam 9.25 pagi tadi," katanya.

Tambahnya, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semua mangsa dipercayai warga asing.