Samenta minta kerajaan bangunkan PKS menjadi 'Unicorn'

William Ng
William Ng
A
A
A

PERSATUAN Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Malaysia meminta kerajaan menumpukan usaha membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi ‘unicorn’ dan ‘quasi-unicorn’.

Unicorn dan quasi-unicorn merujuk kepada syarikat persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion.

Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata, beberapa dana permulaan dan campur tangan kerajaan harus disalurkan kepada PKS yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan berimpak tinggi kerana ia akan membuahkan hasil yang lebih baik.

"Kami telah melihat banyak contoh kemudahan yang diberikan kepada ekosistem pemula niaga bagaimanapun usaha ini hanya memberi manfaat kepada jiran serantau apabila ia dijual kepada pemain yang lebih besar.

"Jika dan apabila ia menghasilkan keuntungan, keuntungan akan salur ke luar negara. Samenta menyambut baik Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," ujarnya.

Beliau mencadangkan kerajaan supaya memastikan eksport PKS dipermudahkan dengan lebih baik melalui rangkaian pasaran yang tertumpu, penjenamaan dan reka bentuk pembungkusan.

Menurutnya, dana teroka dan syarikat berkaitan kerajaan juga harus digalakkan untuk membiayai bersama PKS dalam aktiviti penggabungan serta pengambilalihan untuk menyepadukan rantaian bekalan mereka dengan lebih baik selain mewujudkan lebih banyak PKS dengan saiz yang mencukupi untuk bersaing di peringkat serantau dan global.

"PKS yang sudah lama menjalankan perniagaan bukan sahaja merupakan pelaburan yang kurang berisiko tetapi juga mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam rantaian bekalan global berbanding syarikat pemula niaga yang tidak diketahui perjalanan perniagaannya pada masa depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

William berkata, langkah dilakukan kerajaan adalah betul dalam memfokuskan kepada pertumbuhan tinggi, industri bernilai tinggi yang akan mempunyai kesan limpahan ke atas PKS dan mendapat manfaat daripada menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan yang diperbesarkan.

"Bagi membantu PKS meningkatkan rantaian nilai seperti yang terkandung dalam rangka kerja Ekonomi MADANI dan RMK-12 yang disemak semula, Ng berkata Samenta telah bekerjasama rapat dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia sejak tiga tahun lalu untuk memacu automasi dan penggunaan digital yang lebih besar dalam kalangan PKS dan mengubah pemikiran mereka untuk memberi tumpuan kepada produktiviti buruh, keuntungan dan daya saing.

"Sehubungan itu, Samenta komited untuk menyokong 1.2 juta PKS negara untuk meningkatkan rantaian nilai, melaksanakan pendigitalan dengan pantas dan menjadi lebih produktif dan berdaya saing,” katanya.

Samenta turut menyambut baik rancangan untuk memberi tumpuan kepada industri kreatif dan PKS yang diterajui reka bentuk.

"Kami sekali lagi mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan geran padanan untuk reka bentuk pembungkusan dan penjenamaan untuk membantu PKS kami beralih daripada sekadar pengeluar peralatan asal (OEM) kepada pemilik jenama sambil menyokong industri kreatif,” katanya. - Bernama