'PH perlu telan semula kata-kata mereka' - Tun Faisal

Tun Faisal
Tun Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) perlu menelan kembali kata-kata mereka yang banyak membantah dasar dan pelaksanaan kerajaan dahulu terutama Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, nada PH berubah selepas menjadi kerajaan apabila tidak menolak untuk memperkenalkan semula GST, selain kelihatan mengiktiraf perlombongan REE.

“Kita nampak ketika ini, kerajaan PH terpaksa mengakui tindakan kembali kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah dasar terkebelakang iaitu menggunakan cukai kepenggunaan yang orang tak pakai dah.

“Disebabkan kerajaan PH ketika mentadbir sebelum ini kembali kepada SST, ia jelas merugikan,” katanya.

Kerajaan pada Isnin, dilaporkan tidak menolak untuk memperkenalkan semula GST yang dimansuhkan sebelum ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan akan mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk membangunkan Cukai Keuntungan Modal yang akan dilaksanakan pada 2024.

Namun, Tun Faisal mempersoalkan kesesuaian pelaksanaan semula GST ketika ini memandangkan Rafizi pernah menyatakan ia tidak relevan dilaksanakan sewaktu zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kalau Rafizi pegang pada kata-kata beliau dulu tak boleh nak perkenalkan GST, jadi kerajaan tak patut laksanakan sekarang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, PH juga dilihat telah belajar perkara baharu bahawa REE adalah sumber tenaga terpenting.

“Sewaktu jadi pembangkang dulu, mereka menentang keras REE kerana dipengaruhi sentimen membangkang dan tidak cukup ilmu. Kita dengar ada pemimpin mereka kata, REE ini macam rektor nuklear.

“Sekarang baru mereka faham REE sepatutnya menjadi satu sumber kekayaan yang perlu dimanfaatkan oleh negara,” tambahnya.

Ditanya pula mengenai tindakan kerajaan yang meminta pembangkang memohon permit untuk mengadakan demonstrasi atau turun ke jalan untuk memprotes, Tun Faisal berkata, Kerajaan Perpaduan sepatutnya memegang prinsip sama ketika mereka menjadi pembangkang dahulu.