Anwar sertai dua sesi khas Sidang Kemuncak Asia ke-10 di Singapura

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyertai dua sesi khas pada Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute di Singapura pada Rabu yang akan disertai pemimpin-pemimpin industri global dan syarikat-syarikat pelaburan.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan dua sesi khas berkenaan ialah A Conversation with the Prime Minister of Malaysia dan Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors.

Penyertaan itu adalah sebahagian daripada rangka lawatan kerja Perdana Menteri ke Singapura pada Rabu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut sama, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai daripada kementerian dan agensi yang berkaitan.

Selain itu, Perdana Menteri turut dijadualkan bertemu dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong dalam satu sesi minum petang dan kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan berhubung perkembangan domestik dan antarabangsa.

Pada 2022, Singapura merupakan rakan dagang dunia kedua terbesar Malaysia dengan perdagangan mencecah RM390.4 bilion (US$83.53 bilion) yang merangkumi 12.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada tempoh yang sama bagi 2021 iaitu RM301.7 bilion (AS$64.55 bilion). - Bernama

Artikel Berkaitan: