Pekerja Rapid Pengerang maut, rakan cedera

Keadaan kereta dinaiki mangsa yang terbabas dalam gaung, malam tadi.
Keadaan kereta dinaiki mangsa yang terbabas dalam gaung, malam tadi.
A
A
A
MERSING - Seorang pekerja Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Pengerang maut selepas Proton Wira dipandu terjatuh ke dalam gaung dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Endau-Mersing, malam tadi.

Kejadian pada jam 12.15 malam itu menyebabkan mangsa dikenali sebagai Che Ku Mohd Hanafis Che Ku Abas, 30, maut manakala rakannya, Mohd Azri Mohd Ripin, 30, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang dinaiki dua lelaki tempatan pekerja kontrak Rapid Pengerang.

"Dalam kemalangan ini, seorang mangsa telah meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Mersing manakala seorang lagi mangsa cedera dan sedang menerima rawatan di hospital sama.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Dungun, Terengganu menghala ke Rapid Pengerang.

"Ketika sampai di satu kawasan selekoh tajam, kenderaan dipandu telah terbabas dan memasuki gaung setinggi dua meter," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, seramai 11 anggota dari Balai Bomba Mersing diketuai Pegawai Bomba Kanan II Amer Hamzah Haris bersama sebuah jentera dan sebuah kenderaan EMRS bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan.

Amer berkata, ketika pasukan bomba tiba, pemandu kereta telah terkeluar separuh badan dari tingkap bahagian pemandu dan mengalami cedera teruk di bahagian kepala.
Artikel Berkaitan:


"Penumpangnya pula mengalami kecederaan ringan. Mangsa difahamkan dari arah Endau ke Mersing," katanya.