Portugal tetap padu tanpa Ronaldo

Ramos (tengah) meraikan jaringan bersama Fernandes (kiri) dan Bernardo Silva semasa aksi Portugal menentang Luxembourg di Stadium Algarve, Almancil. FOTO: AFP
Ramos (tengah) meraikan jaringan bersama Fernandes (kiri) dan Bernardo Silva semasa aksi Portugal menentang Luxembourg di Stadium Algarve, Almancil. FOTO: AFP
A
A
A

PORTUGAL beraksi dengan garang dalam kempen Kelayakan Kumpulan J Euro 2024 apabila membelasah Luxembourg 9-0 di Stadium Algarve, Almancil pada awal pagi Selasa.

Malah, skuad kendalian Roberto Martinez mempamerkan penguasaan dominan biarpun tanpa kelibat kapten berpengaruh Cristiano Ronaldo yang menjalani penggantungan.

Kapten Manchester United yang juga pemain tengah Bruno Fernandes menghasilkan hatrik bantuan jaringan sebelum menjaringkan gol pada minit ke-83.

Fernandes menghidupkan kempen gol tuan rumah pada minit ke-12 apabila menyilang bola kepada Goncalo Inacio untuk jaringan pembukaan.

Dia kemudian kembali menjadi penyedia untuk Inacio sejurus sebelum rehat pada penghujung separuh masa pertama.

Separuh masa kedua dia memberi bantuan ketiga apabila mengapungkan bola kepada Diogo Jota untuk menjadikan kedudukan 5-0.

Dalam aksi itu, gol Portugal dijaringkan Goncalo Inacio (m-12, m-49), Gonçalo Ramos (m-17, m-33), Diago Jota (m-57, m-77), Ricardo Horta (m-67) sebelum Joao Félix melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol minit ke-88.

“Ia satu aksi yang memuaskan. Kedudukan 4-0 atau 5-0 pasukan terus bermain dengan cara yang sama seolah-olah 0-0.

Artikel Berkaitan:

"Apabila anda mendapatnya (kemenangan), ia menunjukkan kepada anda nilai pemain dan rasa hormat terhadap pasukan adalah penting - itu sangat bagus untuk dilihat," ujar jurulatih Portugal, Roberto Martinez.

Kemenangan bersih selepas mengharungi enam perlawanan itu membolehkan Portugal memimpin Kumpulan J dengan 18 mata.

Keputusan itu juga merupakan kemenangan terbesar dalam sejarah Portugal - menewaskan Liechtenstein dan Kuwait, 8-0 sebelum ini.

Slovakia pula kekal di tangga kedua lima mata di belakang Portugal selepas menewaskan Liechtenstein 3-0 di Bratislava dengan jaringan David Hancko, Ondrej Duda dan Robert Mak dalam tempoh enam minit pertama.