Ditipu, dirogol dan dieksploitasi jadi pelayan pub

Sebuah pub di Pusat Bandar Puchong diserbu sepasukan anggota dan pegawai polis. Polis menyelamatkan empat wanita warga Myanmar di Pusat Bandar Puchong.
Sebuah pub di Pusat Bandar Puchong diserbu sepasukan anggota dan pegawai polis. Polis menyelamatkan empat wanita warga Myanmar di Pusat Bandar Puchong.
A
A
A

PUCHONG - Seorang wanita warga Myanmar yang berhijrah ke negara ini untuk bekerja di kedai makan mengalami nasib malang apabila dirogol dan dipaksa bekerja sebagai pelayan di sebuah pub haram.

Bagaimanapun, hasil risikan dan maklumat, pub terletak di Pusat Bandar Puchong itu telah digempur menerusi Op Pintas sepasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pada Isnin.

Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 10.40 pagi.

Menurutnya, operasi ini berjaya menyelamatkan empat wanita warga Myanmar berusia lingkungan 15 hingga 31 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa.

"Polis kemudian bertindak menahan tiga lelaki Myanmar berusia 23 hingga 36 tahun yang berperanan sebagai ejen dan majikan selain pembantu majikan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, seorang mangsa berusia 26 tahun yang diselamatkan mendakwa telah dirogol oleh salah seorang suspek.

Katanya, soal siasat awal mendapati mangsa-mangsa telah dijanjikan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan gaji RM1,500 sebulan.

"Bagaimanapun, suspek telah memaksa mangsa bekerja sebagai pelayan premis pusat hiburan tersebut," ujarnya.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati premis terbabit ialah sebuah rumah kedai yang diubah suai sebagai pusat hiburan iaitu pub dan karaoke tanpa lesen.

Artikel Berkaitan:

"Pub ini juga menyasarkan warga asing sebagai pelanggan," katanya.

Tegasnya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 14 akta yang sama.