Tumpu perkukuh keterjaminan makanan, daya saing subsektor komoditi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tumpuan sektor pertanian negara akan beralih kepada memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan daya saing subsektor agrikomoditi dengan menggiatkan aktiviti pertanian pintar merentasi semua sektor.

Usaha ini termasuk mempercepat penerimagunaan teknologi, menarik penyertaan minat bakat, penyedia teknologi serta memperluas saiz ladang bagi meningkatkan pengeluaran domestik.

Menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 (KSP RMK12) yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi, perhatian khusus juga diberi untuk menerima pakai amalan mampan dan menerima guna mekanisasi serta automasi dalam subsektor perladangan bagi menggalakkan aktiviti yang menggabungkan kemampanan dan produktiviti.

Data Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara menunjukkan usaha guna tanah untuk aktiviti agromakanan di Semenanjung Malaysia adalah 0.9 juta hektar pada 2021.

Keluasan terbabit merupakan 16.3 peratus daripada 5.4 juta hektar tanah pertanian di Semenanjung Malaysia manakala baki 4.5 juta hektar adalah untuk subsektor agrikomoditi, kata laporan itu.

"Kawasan penanaman padi dan buah-buahan meliputi lebih 70 peratus jumlah guna tanah untuk agromakanan. Guna tanah bagi agromakanan dianggarkan meningkat sebanyak 1.2 peratus menjelang 2025, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan kawasan penanaman sayur-sayuran dan akuakultur.

"Bagaimanapun, kawasan penanaman padi dianggarkan berkurangan sebanyak 1.4 peratus dalam tempoh sama,” katanya.

Padi

Artikel Berkaitan:

Laporan itu juga mengunjurkan bahawa permintaan beras dijangka meningkat kepada 3.2 juta tan metrik pada 2025 daripada daripada 2.9 juta tan metrik pada 2020.

Pengeluaran beras pula dijangka melebihi tiga juta tan metrik menjelang 2025 dengan keluasan sawah berjumlah 427,894 hektar.

"Langkah akan diambil untuk menyatukan petak-petak sawah kecil, memastikan infrastruktur pengairan dan saliran yang mencukupi serta memperkenalkan varieti baharu yang berhasil tinggi dan subsidi berasaskan prestasi,” katanya.

Buah-buahan dan sayur-sayuran

Usaha pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran akan ditingkatkan bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan eksport dengan tumpuan terhadap buah-buahan tidak bermusim serta sayur-sayuran tanah tinggi.

Purata kadar sara diri (SSR) buah-buahan dijangka mencapai 106.5 peratus pada 2025 berbanding 100.2 peratus pada 2020 manakala purata SSR bagi sayur-sayuran dijangka mencapai 95.1 peratus pada 2025 berbanding 90.9 peratus pada 2020.

"Tumpuan diberikan kepada peningkatan produktiviti melalui pembangunan kluster buah-buahan dan sayur-sayuran, pemulihan ladang, pengukuhan pengurusan ladang kontrak dan peluasan penerimagunaan teknologi moden.

"Strategi ini akan memastikan bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran yang konsisten,” katanya.

Perikanan

Menurut laporan itu, selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), tumpuan diberikan untuk mengurangkan tekanan terhadap perikanan marin dengan meningkatkan sumbangan akuakultur dalam jumlah pengeluaran ikan daripada 20 peratus pada 2020 kepada 30 peratus atau 650,000 tan metrik pada 2025.

Bagi mencapai sasaran itu, penekanan diberikan untuk menerima guna peralatan moden seperti sistem pemberian makanan secara elektronik, sensor dan sistem pemantauan.

"Ini akan membolehkan keputusan dibuat secara cepat dan tepat, mengurangkan pembaziran input dan mencegah penyebaran penyakit yang seterusnya meningkatkan produktiviti secara keseluruhan tanpa menjejaskan kualiti hasil ikan,” katanya.

Ruminan

Laporan itu turut menyentuh usaha meningkatkan produktiviti subsektor ruminan yang masih menjadi cabaran berikutan aspek seperti penerimagunaan teknologi yang rendah, kos operasi tinggi dan ekonomi bidangan yang terhad.

"Strategi akan ditumpukan untuk meningkatkan SSR daging lembu daripada 27.7 peratus pada 2020 kepada 50 peratus pada 2025, daging kambing daripada 16.1 peratus kepada 30 peratus manakala susu segar daripada 64 peratus kepada 100 peratus,” katanya.

Fokus turut membabitkan aspek mempergiat penyelidikan dalam peningkatan genetik dan teknik pembiakan, menambah baik formulasi makanan ternakan, memperkukuh kemudahan tenusu serta menyatukan ladang ruminan berskala kecil.

Menurut laporan itu, penyusunan semula subsektor agromakanan menuntut bukan hanya perubahan amalan pertanian, penerimagunaan teknologi termaju dan peningkatan produktiviti tetapi juga pengukuhan ekosistem bagi memudah cara transformasi ini.

"Matlamat akhir adalah untuk mewujudkan subsektor agromakanan yang berdaya tahan, inklusif, berdaya saing dan mampan bagi menangani sebarang krisis keterjaminan makanan pada masa hadapan,” katanya. - Bernama