Maqis rampas 75 peket biji benih bayam dari Bangladesh

Sebanyak 75 peket biji benih bayam dirampas daripada seorang wanita warga Bangladesh di KLIA pada Jumaat.
Sebanyak 75 peket biji benih bayam dirampas daripada seorang wanita warga Bangladesh di KLIA pada Jumaat.
A
A
A

SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 75 peket biji benih bayam dari Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada Jumaat lalu.

Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan yang dijalankan Pegawai Penguat Kuasa Maqis pada jam 9 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati biji benih yang dibawa masuk oleh wanita warga Bangladesh dianggarkan bernilai RM1,000 bagi tujuan ditanam di negara ini, tidak mempunyai dokumen yang sah seperti permit import dan sijil fitosanitasi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Sobri berkata, rampasan biji benih itu bertujuan untuk mengawal kemasukan perosak, penyakit dan kulat yang boleh merosakkan industri pertanian dalam negara.

"Perbuatan membawa masuk biji benih tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

"Maqis akan sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

"Pemeriksaan itu juga bagi memastikan penumpang sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan: