Bersatu, PN berjaya pupuskan pengaruh UMNO di Terengganu, Kedah - Razali

Razali Idris
Razali Idris
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN) telah memupuskan pengaruh UMNO di Terengganu dan Kedah malah hampir tiada di Kelantan.

Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata, perkara tersebut memberi petanda jelas kepada orang Melayu yang semakin menyedari bahawa terdapat parti pilihan membawa suara orang Melayu pribumi tanpa meminggirkan kaum lain.

Menurutnya, kejayaan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan satu titik penting bagi parti berkenaan dan juga perjalanan demokrasi di Malaysia.

"Ia menunjukkan bahawa walaupun Bersatu baru ditubuhkan dua tahun sebelum PRU14, agenda perjuangan dan juga saf kepimpinan yang ditawarkan parti ini diterima baik oleh rakyat sehingga membawa kepada kemenangan.

"Sehingga PRU15, Bersatu terus cemerlang memenangi 25 kerusi bersama sahabat politiknya, Pas (49 kerusi). Ini termasuk menang penuh bergaya sewaktu di Pilihan Raya Negeri (PRN) baharu-baharu ini di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Selain itu, turut menambah kerusi di Pulau Pinang dan Selangor serta memberi cabaran di Negeri Sembilan," katanya menerusi hantaran Facebook pada Isnin.

Justeru, Razali menyatakan Bersatu sudah bersedia mengambil alih suara orang Melayu pribumi dan rakyat Malaysia pada masa kini dan masa hadapan.

Sementara itu, Razali berkata, pihaknya menerima keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dengan hati terbuka dan reda.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah tiada apa yang perlu dimalukan kerana paling penting adalah ikhtiar dalam perjuangan.

"Tahniah kepada yang menang dan tahniah juga kepada telah berusaha. Menang itu ada kerana berjaya mengurangkan majoriti undi daripada 33,174 kepada 18,641 undi di Parlimen Pulai.

"Ini satu kejayaan walaupun peratus keluar mengundi sebanyak 45 peratus setakat jam 5 petang di Parlimen Pulai," ujarnya.

Razali turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengundi yang menyokong PN serta pengundi tegar UMNO Barisan Nasional yang memberi undi kepada gabungan tersebut pada PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

"Paling penting semua jentera PN bekerja kuat. Ini bukannya penamat tetapi pengalaman yang baik," jelasnya.

Keputusan PRK di Johor pada Sabtu menyaksikan Pakatan Harapan mengekalkan status quo di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram selepas calon yang dipertaruhkan oleh parti itu menang di kedua-dua kerusi berkenaan dengan majoriti selesa.

Suhaizan Kayat dan Nazri Abdul Rahman, kedua-duanya daripada Amanah, menewaskan saingan masing-masing dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 48,283 undi dengan 18,641 majoriti dan 13,844 undi dengan 3,514 majoriti.