'Pemuda PN selesai dulu masalah di Kelantan' - Zawawi

Datuk Zawawi Othman
Datuk Zawawi Othman
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman menasihatkan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari supaya menjadi Ahli Parlimen yang berguna kepada rakyat.

Beliau berkata demikian selepas Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam satu kenyataan mengatakan bakal mengadakan Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia di hadapan Kompleks Sogo pada Hari Malaysia, Sabtu depan.

"Nasihat saya kepada Ketua Pemuda PN, berilah idea kepada Menteri Besar di empat negeri yang kamu perintah (Pas)

"Selesaikan masalah-masalah rakyat di negeri Kelantan khususnya. Jadilah seorang ahli Parlimen yang berguna," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, sepatutnya pemimpin pembangkang yang bercita-cita menyelamatkan Malaysia perlu melaksanakan tugas dengan menjadi penyemak dan imbang yang berkesan semasa sidang Dewan Rakyat nanti.

Ujarnya, kestabilan menjadi kunci kemakmuran sesebuah negara.

Zawawi memberitahu, negara tidak akan stabil apabila masih ada politikus yang merancang menukar kerajaan melalui pintu belakang.

"Jangan heret rakyat dengan propaganda untuk membenci kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Move on lah dengan menerima kenyataan bahawa PRU15 (Pilihan Raya ke-15) sudahpun berlalu. Tunggulah empat tahun lagi untuk kita beradu kembali," katanya.