Talian HEAL 15555 terima 24,346 panggilan hingga Ogos - KP Kesihatan

 Dr Muhammad Radzi
Dr Muhammad Radzi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555 iaitu talian bantuan krisis pertama dikendalikan sepenuhnya pegawai psikologi (kaunseling), merekodkan 24,346 panggilan diterima hingga Ogos lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menerusi kenyataan hari ini berkata, daripada jumlah panggilan diterima talian yang beroperasi sejak 21 Oktober 2022 itu, sejumlah 15,907 (65 peratus) klien menerima bantuan sokongan dan emosi, manakala 8,479 (35 peratus) klien diberikan intervensi khusus.

"Daripada jumlah yang diberi intervensi khusus, sebanyak 206 kes melibatkan tingkah laku bunuh diri iaitu idea bunuh diri dan cubaan bunuh diri.

"Daripada jumlah itu, 89 kes idea bunuh diri telah diberikan intervensi dan 117 kes cubaan bunuh diri berjaya dirujuk dengan mengaktifkan MERS999 dan mendapat kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kecemasan sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, talian yang beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari termasuk cuti umum itu adalah antara inisiatif dilaksanakan bagi mencegah tingkah laku bunuh diri di Malaysia.

Dr Muhammad Radzi berkata, selaras dengan prinsip Malaysia Madani iaitu menjamin kesejahteraan insan, inisiatif lain yang dilaksanakan kementerian ialah Program MySAVE (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope) dan modul latihan pencegahan bunuh diri untuk petugas barisan hadapan.

Katanya, program MySAVE dirasmikan pada 31 Julai lepas diikuti dengan sesi taklimat bersama media berkaitan pelaporan selamat dan bertanggungjawab berkaitan tingkah laku bunuh diri.

Bagi modul latihan pencegahan bunuh diri yang dihasilkan untuk meningkatkan kemahiran pengendalian kes tingkah laku bunuh diri pula, beliau berkata 40 anggota polis dan bomba telah dilatih untuk sesi pertama dan latihan berkala akan dilaksanakan, melibatkan Pegawai Intervensi Krisis dan petugas barisan hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pembangunan Sistem Registri Bunuh Diri dan Kematian Fatal Kebangsaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024. Sistem ini membolehkan statistik terperinci dan tepat berkaitan kejadian bunuh diri diperoleh dan usaha pencegahan bersasar dapat dilaksanakan.

"KKM sedang membangunkan inisiatif sokongan bantuan pascabunuh diri kepada ahli keluarga yang terkesan akibat tingkah laku bunuh diri,” katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata, sumber daripada PDRM melaporkan terdapat sedikit penurunan dalam kes kematian bunuh diri yang dilaporkan pada 2022 iaitu 981 kes berbanding 1,142 kes pada 2021.

Menurutnya, KKM dengan kerjasama semua pihak akan terus memperkukuhkan strategi dan langkah yang diambil bagi menangani tingkah laku bunuh diri. - Bernama