Lulus walaupun buat silap

No Image Caption
A
A
A

SEORANG bekas pelajar di sebuah sekolah memandu mendedahkan dia diminta membayar wang tambahan sebanyak RM500 sebagai jaminan lulus dalam ujian memandu yang dijalankan pemeriksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dia yang mahu dikenali sebagai Azman berkata, dia disuruh berbuat demikian oleh sekolah memandu tersebut selepas tiga kali gagal ujian memandu kereta di jalan raya.

“Saya terkejut sebab tak pernah tahu boleh bayar wang untuk gerenti lulus.

“Saya tanya kepada sekolah memandu tersebut duit itu nanti akan diberikan kepada siapa. Dia kata saya perlu serahkan kepada pusat memandu itu terlebih dahulu dan duit tersebut akan diberikan kepada pihak tertentu semasa ujian.

“Tapi pihak sekolah memandu bagi jaminan saya akan lulus walaupun ada buat silap ketika ujian itu,” dedahnya.

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Azman membayar sejumlah wang diminta oleh sekolah memandu itu dan ternyata apa yang diberitahu oleh mereka adalah betul apabila dia lulus dalam ujian kali keempat.

“Dalam ujian kali keempat itu memang saya ada buat beberapa kesilapan dan saya sangka akan gagal sekali lagi.

“Tetapi saya perhatikan pengawas JPJ yang bertugas seperti tidak ambil kisah semasa saya memandu dan apabila habis ujian pegawai itu kata saya dah lulus,” dedah lelaki itu. Sementara itu, seorang lagi penuntut sekolah memandu yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid mengakui dia memang mencari cara untuk mendapatkan lesen terbang atau lesen gerenti lulus kerana tidak mahu mengikuti ujian memandu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia pernah dua kali mengambil ujian tersebut namun gagal sebelum kawannya memperkenalkannya kepada sebuah pusat memandu yang mempunyai khidmat lesen gerenti lulus.

“Untuk mendapatkan pakej gerenti lulus itu, saya perlu membayar wang tambahan RM1,000 daripada jumlah harga lesen yang saya mahu ambil. “Ketika itu saya nak ambil lesen motosikal dan kereta dengan harga RM1,250 dan keseluruhan saya perlu bayar RM2,250 bagi lesen gerenti lulus.

“Saya ada minta kurang daripada mereka, tetapi mereka kata ia kadar yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, walaupun mengambil pakej lesen gerenti lulus, dia tetap perlu mengikuti kelas dan ujian namun berjaya lulus bagi sekali ujian sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN:Pegawai JPJ sendiri jadi dalang sindiket

Komplot rasuah sekolah memandu, JPJ

JPJ ' panas' lagi

Ejen sekolah memandu buat tawaran di laman sosial