Raja Muda Kedah tauliahkan 1,488 pegawai kadet Palapes

Tengku Sarafudin Badlishah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat pembarisan palapes daripada 20 Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia di Padang Kawad Palapes UUM, Sintok pada Sabtu.
Tengku Sarafudin Badlishah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat pembarisan palapes daripada 20 Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia di Padang Kawad Palapes UUM, Sintok pada Sabtu.
A
A
A

SINTOK - Seramai 1,488 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) daripada 20 Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia ditauliahkan pada Istiadat Pentauliahan Diraja di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Sabtu.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat pembarisan yang diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK), Muhammad Irfan Mohamad dari Palapes Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di Padang Kawad Palapes UUM, dekat sini.

Keberangkatan tiba Tengku Sarafudin Badlishah disambut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman, Panglima-Panglima Perkhidmatan dan Naib Canselor UUM, Kolonel (Kehormat) Profesor Dr Mohd Foad Sakdan.

Raja Muda Kedah yang mewakili Sultan Kedah, Tuanku Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam ucapan bertitah, pegawai-pegawai kadet apabila pulang ke tempat masing-masing dapat meneruskan kesinambungan dalam perkhidmatan anggota sukarela dengan melaporkan diri di Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat, Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia atau Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Istiadat Perbarisan ini melibatkan 1,488 Pegawai Kadet Palapes daripada 20 UA seluruh Malaysia yang diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Muhammad Irfan Mohamad dari Palapes Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).
Istiadat Perbarisan ini melibatkan 1,488 Pegawai Kadet Palapes daripada 20 UA seluruh Malaysia yang diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Muhammad Irfan Mohamad dari Palapes Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

"Pangkat Leftenan Muda yang ditauliahkan kepada saudara-saudari perlu dihayati agar ianya terus subur untuk memberi sumbangan-sumbangan berguna dalam bidang pertahanan apabila khidmat saudara-saudari diperlukan kelak.

"Disamping itu, Beta menyeru agar saudara-saudari akan terus aktif dengan perkhidmatan angkatan sukarela yang ada di seluruh negara," titah Tengku Sarafudin Badlishah.

Turut diadakan adalah penyampaian Anugerah Pedang Kehormat kepada 37 Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

Selesai istiadat perbarisan, Tengku Sarafudin Badlishah turut berkenan mengurniakan watikah tauliah kepada para pegawai yang terdiri daripada 861 Pegawai Muda di dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW), 287 Pegawai Muda di dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 340 Pegawai Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM) yang berlangsung di dewan Mu’adzam Shah, disusuli dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira.

Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes UA ke-41 merupakan istiadat yang diadakan secara tahunan dan dianjurkan oleh UA di seluruh Malaysia mengikut penggiliran.