'Anak muda jangan sia-siakan hak pilih wakil rakyat'

Pavitrawini (kiri) bersama kakaknya, Keiswini menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK Parlimen Pulai di SMK Taman Bukit Indah pada Sabtu.
Pavitrawini (kiri) bersama kakaknya, Keiswini menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK Parlimen Pulai di SMK Taman Bukit Indah pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua beradik teruja dapat menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, meskipun hujan lebat sejak awal pagi.

L Keiswini, 24, dan adiknya, L Pavitrawini, 22, hadir ke pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah pada kira-kira jam 9.50 pagi

Pavitrawini berkata, kehadiran di pusat pembuangan undi cukup penting kerana tidak mahu terlepas daripada menjalankan tanggungjawab mengundi yang merupakan proses demokrasi negara.

"Ini kali ketiga saya dan kakak, mengundi dalam tempoh dua tahun. Saya mula mengundi pada usia 18 tahun dan kakak pula ketika berusia 20 tahun.

"Saya dan kakak mula mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac tahun lalu diikuti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu dan PRK Parlimen Pulai, hari ini.

"Melalui media sosial, kami mendapatkan maklumat dan berbincang mengenai keadaan politik negara bersama rakan-rakan seusia," katanya selepas selesai mengundi di SMK Taman Bukit Indah, di sini.

Turut sama mengundi adalah rakan mereka, Ng Ying Zin, 20.

Dalam pada itu, Keiswini berkata, beliau berharap golongan muda keluar mengundi beramai-ramai bagi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Artikel Berkaitan:

"Sayang jika kita mensia-siakan hak kita orang muda untuk mengundi kerana ia penting supaya suara golongan kita didengari dan terbabit dalam proses demokrasi negara.

"Beberapa kawan seusia kami juga ada memaklumkan akan pulang mengundi walaupun sedang belajar di negeri lain, namun ada juga rakan yang enggan pulang kerana merasakan ia tidak penting," katanya.