Pelajar maut tercampak selepas motosikal bergesel

Motosikal pelajar berusia Tingkatan Tiga yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Salor Lama pada Jumaat.
Motosikal pelajar berusia Tingkatan Tiga yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Salor Lama pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pelajar Tingkatan Tiga maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Salor Baru di sini pada Jumaat.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika remaja itu menunggang motosikal dari arah Pasir Mas menghala ke Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y16 bergesel dengan sebuah motosikal lain yang tidak dapat dikenal pasti jenis dan nombor platnya.

"Akibat pergeselan itu, mangsa memasuki laluan bertentangan dan terlanggar sisi hadapan sebelah kanan sebuah kereta yang dipandu seorang warga emas berusia 66 tahun," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Mohd Rosdi memberitahu, mangsa kemudian tercampak dan terjatuh ke atas jalan raya serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bagaimanapun katanya, warga emas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Rosdi berkata, pendakwaan terhadap punca kemalangan boleh dihukum di bawah akta yang sama jika sabit kesalahan.

"Jika didapati bersalah, boleh dihukum tidak kurang lima tahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, polis memohon orang ramai tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu atau terus kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Adilla Morni Ahmad Mahmud di talian 09-7752355.