Pengundi Cina di Pulai perlu sokong Suhaizan - Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pengundi Cina diharap terus menyokong calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat sebagaimana yang pernah diberikan kepada penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 9 September ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana Suhaizan merupakan calon yang baik dan boleh memberi perkhidmatan terbaik untuk warga Pulai kerana beliau pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Salahuddin.
"Saya tahu sokongan orang Cina kepada Allahyarham cukup besar, cukup kuat. Saya mahu kali ini Suhaizan juga dapat sokongan daripada pengundi-pengundi Cina di Pulai ini. Dulu dia lawan BN, BN lawan dia, dulu lawan tetap lawan, sekarang lawan sudah jadi kawan, buat apa kita lawan? Sekarang kita Kerajaan Perpaduan.
"Orang Melayu, Cina, India serta Sabah dan Sarawak beliau akan tolong. Saya bagi tahu dia tolong semua bangsa kerana kita buta warna. Kalau tidak cukup peruntukan, boleh minta bantuan saya," kata Timbalan Perdana Menteri itu ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pertubuhan Penganut Kuan Yin Taman Perling di Tokong Guan Yin di sini malam Ahad.