DPMM Pahang terokai pasaran ke Singapura

Wan Alhamdulillah (dua dari kiri) dan Wan Rusdy (tengah) ketika berkunjung ke Singapura baru-baru ini.
Wan Alhamdulillah (dua dari kiri) dan Wan Rusdy (tengah) ketika berkunjung ke Singapura baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Program perkongsian dan peluang pelaburan antara negeri Pahang dengan usahawan dari Singapura dijangka memberi impak besar terhadap pasaran dan perniagaan import dan eksport.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang, Wan Alhamdulillah Wan Abd Rahman berkata, minggu lalu DPMM Pahang yang diwakili beliau, bersama delegasi Kerajaan Pahang yang diketuai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rusdy Wan Ismail telah mengadakan kunjungan ke negara itu.

Menurutnya, lebih 100 orang pelabur dari Singapura telah menyertai program ini dan dijangkakan hasil program dapat membantu mengaktifkan lagi pembangunan ekonomi negeri.

"DPMM Pahang mengambil peluang bertukar idea dan kaedah bagi meningkatkan mobiliti pasaran dua hala antara usahawan kedua-dua negara.

"Sejumlah 51 peratus usahawan dan ahli DPMM di Pahang terdiri kalangan usahawan industri kecil sederhana (IKS), mereka ini mahu kita fokuskan untuk memasarkan produk hingga ke peringkat antarabangsa.

"Ini kerana kita sedia maklum, menjadi pengeksport ke Singapura akan memberikan impak lumayan kepada pengusaha IKS kerana negara itu aktif dengan perdagangan antarabangsa.

"Bagi tempoh jangka panjang, DPMM Pahang menyasarkan sekurang-kurangnya sebahagian daripada ahli IKS ini tidak lagi kekal sebagai IKS berskala kecil dan tempatan sebaliknya beralih ke syarikat atau perniagaan yang lebih besar dengan pencapaian yang lebih tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Hadir sama menyertai delegasi ialah Naib Yang Dipertua DPMM Pahang, Adnan Che Kob, Bendahari Kehormat, Faisal Romli; Pegarah Perhubungan, Datuk Wan Nor Raihan Wan Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Perhubungan, Hanif Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Delegasi Malaysia tidak melepaskan peluang mendengar seminar pelaburan dua hala Singapura - Malaysia.
Delegasi Malaysia tidak melepaskan peluang mendengar seminar pelaburan dua hala Singapura - Malaysia.

Wan Alhamdulillah berkata, DPMM Pahang akan merencanakan lawatan susulan dengan membawa lebih ramai wakil usahawan yang berpotensi untuk diketengahkan ke pasaran antarabangsa.

DPMM Pahang juga mahu ahlinya turut mengambil peluang dari hubungan baik dengan Singapore Malay Chamber Commerce Industry (SMCCI) untuk bekerjasama dalam membantu mengeluarkan produk usahawan IKS kerana kekangan sumber mereka di samping menyasarkan eksport produk Malaysia ke sana.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata DPMM Pahang turut bertindak memperkasakan peranan Unit Media badan itu, dengan penglibatan pengamal media arus perdana.

Menurutnya, ini adalah inisiatif baharu dalam meningkatkan pergerakan dan mobiliti unit tersebut, sebagai platform unggul melonjakkan nama ahli dan DPMM ke satu fokus sasaran.

"DPMM Pahang menyerahkan mandat penuh kepada Unit Media baharu untuk melaksanakan hebahan dan kerja kerja komunikasi dewan ini, atas kapasiti mereka sebagai pengamal media.

"Kita turut melantik tiga daripada jawatankuasa baharu Unit Media DPMM yang merupakan bekas pengamal media arus perdana yang akan menyumbang kebolehan dalam penulisan kreatif," katanya.