[VIDEO] Sahut seruan KPM mantapkan pendidikan negara ke arah teknologi digital

Farah (dua dari kiri) dan Fadhlina (tengah) ketika perasmian Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di Shah Alam, pada Jumaat.
Farah (dua dari kiri) dan Fadhlina (tengah) ketika perasmian Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di Shah Alam, pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) membuka tirainya dengan mengangkat tema ‘Memacu Pendidikan Generasi Digital’ bagi menyahut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar pihak swasta turut memainkan peranan dalam memantapkan pendidikan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf Sdn Bhd, Farah Hussamuddin berkata, penganjuran karnival pendidikan selama tiga hari hingga Ahad di Kompleks Kumpulan Karangkraf itu berbeza berbanding acara yang pernah diadakan sebelumnya.

Tambah beliau, ia merupakan satu usaha daripada Sinar Harian dalam merealisasikan hasrat agar pihak yang menggunakan teknologi digital dapat memantapkan pendidikan anak-anak ke tahap lebih baik.

“Sinar Harian berharap agar permulaan ini berterusan dan berkembang ke negeri-negeri yang lain, malah mungkin menjadi program di peringkat kebangsaan pula dengan sokongan daripada KPM,” katanya ketika berucap semasa majlis perasmian Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Karnival tersebut dirasmikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut menzahirkan ucapan tahniah buat penganjuran sulung itu selain menganggap tema berkenaan sangat dekat dengan KPM, khususnya Dasar Pendidikan Digital Negara.

Hadir sama, Pengasas Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Dr Jafri Abu; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial al-Rasyid Haron Aminor Rasyid.

Ditanya mengenai sambutan KPSB pada hari pertama, pengurus acaranya, Khairil Fithry Mustapha berkata, pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf sudah mula dibanjiri murid daripada 56 buah sekolah serta orang awam seawal jam 7 pagi.

Tambah beliau, pihaknya tidak menjangkakan karnival tersebut bakal mendapat sambutan hangat dan di luar jangkaan namun mereka sentiasa bersedia dengan keadaan pada hari kedua serta ketiga yang merupakan hari minggu.

Artikel Berkaitan:

“Kami tak jangka dengan sambutan yang luar biasa ini, memang ramai orang memenuhi pekarangan di dalam dan luar kompleks, agak sesak tetapi masih lagi terkawal.

“Diharapkan kehadiran untuk esok adalah sama seperti hari ini kerana hari minggu, mungkin juga kami akan terima kunjungan daripada ibu bapa yang membawa anak-anak mereka,” jelasnya lagi.