'Masih trauma RXZ kesayangan keluarga dilarikan pencuri'

Antara kenangan Mohamad Adib bersama motosikal kesayangan ketika menyertai RXZ members 4.0 pada tahun lalu.
Antara kenangan Mohamad Adib bersama motosikal kesayangan ketika menyertai RXZ members 4.0 pada tahun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peminat motosikal RXZ tidak menyertai himpunan RXZ members 5.0 tahun ini kerana masih trauma selepas motosikal kesayangan keluarganya sejak 31 tahun lalu hilang ketika diparkir dalam pagar sebuah rumah inap dalam kejadian setahun yang lalu.

Mohamad Adib Md Saleh, 32, berkata, keadaan sama juga dirasai oleh rakannya Muhamad Nor Hafiz Yahaya, 35, yang turut mengalami nasib serupa ketika menyertai program sama pada tahun lalu.

"Tahun ni saya tak 'join'. Dapat lalu je kat tapak event pagi tadi. Tak cukup modal nak buat motor baru. Lagipun saya masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

"Nak buat balik (motosikal) pun kena ada mood, ada duit. So dua-dua belum ada. Rehat dulu setahun dua. Insya-ALLAH tahun depan mula kumpul sikit-sikit. Tahun ni nak jalan-jalan travel dulu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Jumaat.

Menurut Mohammad Adib, dia bersama dua rakan sepejabat dari Kuala Lumpur ke Terengganu untuk melancong ke Pulau Redang pada Jumaat sempat melalui lokasi himpunan besar-besaran motosikal itu di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus.

"Pagi tadi sampai di Terengganu saya saja lalu lalu dekat homestay dan tapak event tu. Tutup mata boleh ingat satu satu yang terjadi (kejadian motosikal hilang)," katanya yang kebetulan ke Terengganu untuk menghantar topi keledar kepada pelanggan.

Mohammad Adib berkata, sehingga kini dia tidak mendapat sebarang perkembangan mengenai motosikal tersebut.

"Kali terakhir saya nampak motosikal saya melalui skrin CCTV (kamera litar tertutup) di Tok Bali, Kelantan pada hari ke tujuh selepas ia hilang.

Artikel Berkaitan:

"Saya, abang saya dan Hafiz pergi ke sana sebab ramai yang kata nampak motor tu lalu di sana pada pagi hari kejadian. Masa tu saya dengan abang naik motor, Hafiz dan isteri dia naik kereta. Kami cuba nak cari sendiri. Dapat lah jumpa CCTV ni.

"Kebetulan sampai tu dah hari ketujuh. Pagi tu rakaman masih ada sebab ia akan automatik hilang selepas hari ketujuh," katanya.

Mohamad Adib yang merupakan kakitangan swasta berkata, motosikal itu menyimpan banyak kenangan indah buat mereka sekeluarga.

"Banyak kenangan yang saya rasa begitu 'mahal' dan tak boleh dilupakan. Masa abang saya pakai motor tu tahun 1992. Waktu tu umur saya baru lima bulan lebih.

Gambar dirakam bersama motosikal RXZ pada April 1992 ketika Mohamad Adib berusia lima bulan.
Gambar dirakam bersama motosikal RXZ pada April 1992 ketika Mohamad Adib berusia lima bulan.

"Paling tak boleh lupa motor yang sama saya beli semula, buat balik (ubah suai) sampai siap dan jadi kenangan semula," ujarnya.

Motosikal RXZ milik Mohamad Adib dibeli pada tahun 1991 oleh ayahnya dengan harga RM5,000 sebelum dijual oleh abangnya pada 2000.

Motosikal itu kemudian dibeli semula oleh anak bongsu dari lima beradik itu pada 2021 dengan harga RM6,000 dan berhabisan hampir RM25,000 untuk mengubah suai motosikal tersebut dengan menukar kepada alat ganti asli.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan dua buah motosikal peserta program RXZ Members 4.0 yang diparkir di sebuah rumah inap di Kampung Pak Tijah di Kuala Nerus lesap dilarikan pencuri dalam kejadian awal pagi pada 14 Ogos tahun lalu.

Difahamkan, ketika kejadian pencuri bertindak licik dengan mengunci pintu rumah inap dari luar dan memotong bahagian tepi pagar rumah berkenaan sebelum melarikan dua buah motosikal.