73 peratus kematian di Malaysia disebabkan NCD

Lukanisman bersama Hui Ying (kanan) melancarkan sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) peringkat kebangsaan dan pelepasan Kembara Sekolah 2023 di Bulatan Sihat Kompleks E, pada Jumaat. - Foto Bernama
Lukanisman bersama Hui Ying (kanan) melancarkan sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) peringkat kebangsaan dan pelepasan Kembara Sekolah 2023 di Bulatan Sihat Kompleks E, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 73 peratus kematian di negara ini yang disebabkan penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Disease (NCD)) adalah akibat budaya hidup tidak sihat, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Merasmikan sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Kebangsaan 2023 di sini pada Jumaat, beliau berkata, hampir separuh rakyat Malaysia tidak mengetahui mereka menghidap NCD.

"Hampir 50 peratus tidak mengetahui mereka menghidapi NCD dan ini membawa kepada peningkatan risiko mendapat komplikasi jika tidak mendapatkan rawatan awal,” katanya.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, seorang daripada dua dewasa di negara mempunyai berat badan berlebihan dan obes, dan golongan tertinggi mengalami masalah tersebut adalah wanita iaitu 54.7 peratus serta individu berusia 55 hingga 59 tahun iaitu 60.9 peratus.

Menurut tinjauan itu juga, seorang daripada empat dewasa di negara ini juga tidak aktif fizikal, dan golongan yang paling tidak aktif ialah wanita iaitu 28 peratus, pelajar 39 peratus dan warga emas 59 peratus.

Tinjauan itu juga mendapati tahap literasi kesihatan yang rendah dalam pembudayaan hidup sihat rakyat seperti tidak aktif secara fizikal ialah 25.1 peratus, tidak cukup makan sayur dan buah mengikut saranan (94.9 peratus) serta amalan merokok (23.1 peratus), katanya.

Lukanisman berkata, pelaksanaan BMSS yang diperkenalkan menerusi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) diharapkan dapat meningkatkan kesedaran rakyat agar dapat bertindak untuk mengubah tingkah laku kepada amalan yang sihat.

BMSS yang disambut pada bulan September setiap tahun selari dengan hala tuju Kementerian Kesihatan (KKM) untuk beralih fokus sedang melakukan transformasi sistem kesihatan negara daripada sick care atau penjagaan pesakit kepada health care (penjagaan kesihatan) dan kesejahteraan dengan menggunakan pendekatan pencegahan dalam promosi pembudayaan hidup sihat selari dengan hasrat Kertas Putih Kesihatan, katanya.

Artikel Berkaitan:

"Peningkatan penyakit akibat pembudayaan hidup tidak sihat oleh rakyat Malaysia memberi tekanan kepada sistem kesihatan dan perbelanjaan negara,” katanya.

Terdahulu, Lukanisman secara simbolik merasmikan pelepasan Kembara Sekolah bersama-sama Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying sebagai manifestasi kolaborasi rakan strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM, Suraiya Syed Mohamed ketika ditemui berkata, pelbagai program akan dilaksanakan untuk meningkatkan literasi kesihatan bermula dari peringkat sekolah.

"Sebanyak 136 sekolah akan terlibat dalam Kembara Sekolah yang akan menjalankan aktiviti yang menjurus kepada penjagaan kesihatan. Pada tahun ini kita juruskan kepada murid-murid sekolah kerana mereka mudah dibentuk,” katanya. - Bernama