Kes Zahid beri kesan positif, keadilan ditegakkan - Ahmad Maslan

Ahmad dan Nazri melawat pesakit strok serta buah pinggang, Rohani Abdul Majid, 58, semasa berkempen di Taman Permata Indah, Bakri, Muar pada Khamis.
Ahmad dan Nazri melawat pesakit strok serta buah pinggang, Rohani Abdul Majid, 58, semasa berkempen di Taman Permata Indah, Bakri, Muar pada Khamis.
A
A
A

MUAR - Kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan mahkamah pada Isnin tidak akan memberi kesan negatif terhadap Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri DUN Simpang Jeram.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebaliknya berkata, ia akan memberi kesan positif kerana kebenaran dapat dibuktikan akhirnya.

"Alhamdulillah kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memberi kesan yang amat positif kerana akhirnya kebenaran dapat ditegakkan. Kalau kita tengok dari sudut itu, alhamdulillah. Saya tahu ada pihak tidak suka akan lihat pada sudut negatif.

"Kita bersyukur dan gembira akhirnya keadilan dapat ditegakkan di Malaysia ini, itu yang penting. Kepada mereka yang berfikir lain itu, itu silap pemikiran mereka.

"Saya ingin perbetulkan kesilapan itu. Kita ada harapan terhadap proses keadilan di Malaysia kerana mereka membetulkan apa yang silap, kezaliman dihentikan, itu yang penting," katanya.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata demikian pada sidang akhbar semasa berkempen di Taman Permata Indah di sini pada Khamis.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor yakin keputusan kes Ahmad Zahid itu akan memberi nilai tambah terhadap sokongan kepada calon kepada calon BN dan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu jika kita melihat ini daripada sudut yang berbeza, ini adalah pelepasan daripada kezaliman yang amat dahsyat. Ada pihak yang minta penjelasan daripada Peguam Negara.

"Sebanyak 11 penjelasan dan kenyataan akhbar yang ringkas juga sudah pun dikeluarkan. Apa yang mereka buat itu diperakui hakim. Tidak perlu lagi sebarang penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara," katanya.

Sementara itu, calon BN dan PH di DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman berkata, kes rasuah Ahmad Zahid itu tidak memberi kesan dalam kempen gabungan tersebut ketika ini dan beliau percaya keputusan tersebut adil.

Katanya, kempen dilakukan dengan pendekatan secara berkelompok kerana kaedah itu lebih berkesan berbanding ceramah secara besar-besaran.

Tambah beliau, jentera parti terus konsisten berkempen cara itu sejak dari mula hingga kini dan tidak perlu melakukan 'pecutan akhir' pada saat akhir.

"Saya rayu pengundi luar kawasan supaya pulang balik seelok-eloknya esok bagi mengelakkan kesesakan," ujar Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Bakri itu.