Zii Jia tekad berusaha lebih gigih

Lee Zii Jia - Foto AFP
Lee Zii Jia - Foto AFP
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui prestasinya belum berada pada tahap sebenar selepas ditunjukkan jalan pulang Kodai Naraoka seawal pusingan pertama dalam Terbuka China di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

Malah, Zii Jia juga menyifatkan bahawa persembahan Naraoka lebih stabil sekali gus memberikan kelebihan buat bintang muda dari Jepun itu.

“Prestasi Kodai lebih konsisten malah dia sangat bagus dalam aksi rali dan bertahan selain kurang melakukan kesilapan mudah dalam gelanggang.

“Apa yang membezakan Kodai dengan pemain Jepun lain walaupun corak permainan hampir sama adalah dia lebih stabil dalam mengawal gelanggang dengan baik.

“Saya pula, tiada apa yang positif untuk saya. Apa yang saya boleh lakukan adalah terus berusaha lagi,” kata Zii Jia.

Zii Jia sebelum itu ditunjukkan jalan keluar naib juara Kejohanan Dunia 2023 berusia 22 tahun tersebut apabila tewas 24-26, 21-12, 11-21 dalam aksi 75 minit di kejuaraan berstatus Super 1000 berkenaan.

Kekalahan aksi tiga set itu menyaksikan pemain berusia 25 tahun itu yang menghuni ranking ke-14 dunia terus bergelut mencapai prestasi terbaiknya.

Sebagai rekod, Zii Jia sebelum ini dipalit kekalahan berturut-turut selepas tersingkir di pusingan ketiga pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Anak muda negeri Jelapang Padi Kedah Darul Aman sebelum ini mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali, masing-masing di Seluruh England pada Mac lalu, Terbuka Switzerland (Mac) dan Terbuka Australia bulan lalu daripada keseluruhan 15 kejohanan kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pencapaian diraih di bumi China itu menyaksikan Naraoka meraih kemenangan kedua selepas kali pertama melakukan sensasi dalam Terbuka Malaysia 2023 pada Januari lalu.