Berpolitik jangan sampai caci nista

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GELANGGANG kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor Bahru sudah bermula sejak Sabtu lalu menghangatkan suasana pilihan raya apabila setiap calon yang bertanding menggunakan pelbagai platform dalam mempromosi diri dan parti yang diwakili.

Dalam sibuk berkempen pilihan raya, terdapat juga sesetengah penyokong parti politik menjadikan kempen sebagai tempat membelasah atau menyerang peribadi pihak lawan, ada yang keluarkan ‘fatwa’ politik, hasutan dan kesalahan penyebaran naratif kebencian membabitkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Bak kata pepatah, ‘sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa’.

Akibatnya beberapa laporan polis dibuat oleh penyokong parti tertentu susulan ketidakpuasan hati dengan ucapan semasa berkempen.

Terbaharu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Pas Pusat di Kuala Lumpur berhubung kenyataan beliau yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, minggu lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, siasatan itu dibuka terhadap Abdul Hadi mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Abdul Hadi dalam ceramah perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Bakri dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Selain itu, polis juga akan memanggil bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung ucapannya berkaitan 'fatwa' politik dalam ceramah PRK di Kempas, Johor.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi PN itu didakwa menyatakan haram bagi mereka yang mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat pada PRK Parlimen Pulai.

Muhyiddin mendakwa ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

Justeru, siasatan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Pada pendapat penulis, bukan ke lebih elok waktu berkempen kita sajikan perkara yang enak didengar oleh para pengundi, antaranya, manifesto setiap parti, apa sumbangan jika pengundi memangkah calon-calon dalam PRK.

Ataupun program-program yang boleh menjana pendapatan anak bangsa selain membangunkan kawasan masing-masing untuk beri peluang pekerjaan kepada anak muda terutamanya.

Sudah tentu pengundi yakin memilih calon tersebut bukannya meraih undi dengan mengeluarkan kata-kata yang boleh menghasut dan mencerca parti lawan.

Lagipun, rakyat sekarang sudah bijak menilai calon atau parti mana yang layak menjadi wakil rakyat mereka, tidak kira parti lawan atau sebaliknya.

Calon atau pemimpin dan penyokong parti politik perlu mengikut garis panduan berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar pilihan raya dan proses demokrasi berjalan lancar.

Elakkan sebarang provokasi dengan melaksanakan kempen secara harmoni, bebas daripada sebarang perkara tidak diingini.

Ini kerana, Polis Johor telah menerima sebanyak 28 laporan sepanjang kempen PRK sejak Sabtu lalu hingga 5 September.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan yang diterima kebanyakannya berkaitan kesalahan merosakkan bahan kempen seperti bendera, banting serta poster parti yang bertanding.

Selain itu, katanya, daripada jumlah itu, empat kes diterima berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja), dua kes disiasat di Johor dan dua lagi disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman.

Apa sekalipun, berpolitik jangan sampai ‘tergadai’ agama, bangsa dan persahabatan.

Realitinya, berselisih pendapat itu biasa namun tidak normalisasikan hal yang diharamkan oleh agama.

Berbaki dua hari lagi untuk pengundian pada Sabtu ini, berpolitiklah dengan matang, jaga mulut elak binasa, jangan sampai caci nista!

*Syairah Abd Lajis ialah Penolong Ketua Bahagian Media Sosial