Lelaki cedera parah lori dipandu terjunam ke dalam gaung

Mangsa mengalami kecederaan parah setelah lori dipandu terbabas dan terjunam di SKVE Plaza Tol Pulau Indah, dekat sini pada Rabu.
Mangsa mengalami kecederaan parah setelah lori dipandu terbabas dan terjunam di SKVE Plaza Tol Pulau Indah, dekat sini pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki cedera parah apabila lori kontena dipandunya terjunam ke dalam gaung di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) Plaza Tol Pulau Indah, dekat sini pada Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, dalam kejadian jam 11.41 pagi itu, lori yang dipandu lelaki berusia 50-an tersebut menghala ke Pulau Indah.

Beliau berkata, ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam lima meter.

"Pihak bomba mendapat maklumat daripada peronda lebuh raya menyatakan terdapat sebuah lori kontena terjunam ke dalam gaung.

"Mangsa mengalami cedera parah, namun masih berada dalam keadaan sedar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Mukhlis berkata, mangsa dipercayai bertindak keluar sendiri daripada kenderaan yang terjunam.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Tambahnya lagi, lori tersebut membawa muatan minyak masak.

Artikel Berkaitan: