Dua pelajar maut, Myvi bertembung treler

Keadaan kereta Perodua Myvi dan lori remuk teruk selepas terlibat kemalangan di Jalan Sagil-Jementah, pekan Sagil pada Selasa.
Keadaan kereta Perodua Myvi dan lori remuk teruk selepas terlibat kemalangan di Jalan Sagil-Jementah, pekan Sagil pada Selasa.
A
A
A

TANGKAK - [DIKEMAS KINI] Dua pelajar maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 39.9 Jalan Muar-Tangkak berhampiran pekan Sagil di sini pada Selasa.

Kemalangan tersebut mengorbankan pemandu Perodua Myvi, Mohd Hazim Abdul Halim, 25, dan penumpang, Muhamad Fikri Amaludin, 24.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan kejadian melibatkan dua pelajar lelaki yang beralamat di Kampung Paya Merah dan Taman Wawasan, Labis itu pada jam 7.20 pagi.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dari arah Tangkak termasuk ke laluan bertentangan akibat pemandunya mengantuk sebelum bertembung dengan treler dari arah bertentangan yang tidak sempat mengelak.

"Akibat dari kemalangan ini, pemandu serta penumpang kereta telah disahkan maut di lokasi kerana kecederaan parah di bahagian muka dan kepala manakala pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus dua hala dalam keadaan cuaca baik dan berlaku pada waktu awal pagi.

Tambah beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tangkak untuk dibedah siasat, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Johairi Sameon berkata, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Kemalangan itu mengakibatkan mangsa tersepit. Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian," katanya.

Katanya, pemandu treler pula, Azuan Ithnin, 37, tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi selesai pada jam 7.57 pagi.