Warga emas didakwa bunuh dua lelaki

Chew Heng diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam, pada Rabu.
Chew Heng diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam, pada Rabu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini atas pertuduhan membunuh dua lelaki dalam kejadian di Jalan Song Ban Kheng di sini, pada 6 Jun lalu.

Tertuduh, Tan Chew Heng, 66, hanya menganguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan pertama, Chew Heng didakwa membunuh Tu Soon Ee, 79, di Lot 521, Jalan Song Ban Kheng dalam Daerah Seberang Perai Selatan di sini di antara jam 1.45 petang hingga 6.30 petang.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa membunuh M Murugasan, 58, di lokasi sama antara jam 1.45 petang hingga 8 Jun 12.01 tengah malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik dan kimia.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditikam dengan senjata tajam di kawasan semak berhampiran Jalan Son Ban Kheng, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, lelaki berusia 70-an itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam kira-kira jam 7.45 malam sebelum melaporkan penemuan itu kepada pihak polis.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 50-an dan 60-an yang disyaki terlibat dengan kes berkenaan.