Polis Marin gagalkan cubaan edar rokok seludup

Suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada IPD Kuantan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada IPD Kuantan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
A
A
A

KUANTAN - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuantan merampas 312 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM55,000 yang ditemui dalam sebuah kereta dipandu seorang lelaki di Jalan Kuantan-Maran berhampiran Kampung Gelugor, Paya Bungor dekat sini Isnin lalu.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, dalam pemeriksaan kira-kira jam 2 petang itu, suspek berusia 33 tahun disyaki penghantar rokok seludup ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota PPM Wilayah Tiga Kuantan berjaya mengesan dan mengekori kereta terbabit.

"Kereta terbabit berjaya dipintas dan ditahan di lokasi terbabit sebelum pemeriksaan dilakukan.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan beberapa kotak mengandungi rokok tanpa cukai kastam dipercayai untuk diedar kepada pembeli-pembeli di kawasan sekitar," katanya.

Zulafendy berkata, suspek bersama semua barang rampasan termasuk kereta jenis Proton Waja yang dianggar bernilai RM10,000 diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

"PPM sentiasa melakukan rondaan di perairan dan daratan serta mengumpul risikan bagi membanteras aktiviti kontraban khususnya penyeludupan rokok yang tidak sah.

"Kami amat mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi penyaluran maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan bagi membendung aktiviti tersebut di negeri ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan, orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan PPM Wilayah Tiga Kuantan di Talian 09-513 7726.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!