6 pendaki ditemui, tidak alami kecederaan

GERIK - Enam pendaki yang ditemui selamat selepas dilaporkan hilang ketika mengikuti ekspedisi pendakian merentasi tiga puncak gunung di Banjaran Titiwangsa iaitu Gerah, Bilah, dan Bieh (Trans GBB) tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kesemua mangsa telah dijumpai di Kem Kulim oleh pasukan Malim Gunung Perhutanan (MGP) daripada Perak dan Kelantan.
Menurutnya, kesemua mangsa kemudian telah dibawa ke Kampung Lelar, Pos Kemar sini pada jam 8.45 malam oleh pasukan penyelamat.
"Enam individu menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pos Kemar.
"Kesemua mangsa dalam keadaan baik dan tiada kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu Abdul Samad memaklumkan pihaknya menerima maklumat daripada salah seorang mangsa menerusi panggilan telefon pada jam 5 petang yang memberitahu kesemua mereka berada dalam keadaan selamat
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan selepas keenam-enam individu terbabit gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar pada 3 September lalu.
Mereka dilaporkan memulakan pendakian merentas tiga puncak gunung itu pada 29 Ogos lalu.
Peserta ekspedisi itu terdiri daripada dua malim gunung iaitu Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, manakala empat beranak terdiri daripada Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, serta dua anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

