PRK: BN Pahang umum calon 17 September ini

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Barisan Nasional (BN) Pahang sudah menyenaraikan enam nama untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan parti sebagai calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, senarai itu akan diteliti dan dibawa kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dibincang dan diputuskan sebelum diumumkan pada 17 September depan.

"Kita akan tengok siapa yang lebih layak untuk bertanding di kerusi itu. Calon-calon yang ada pastinya berpotensi, berkaliber dan berwibawa serta boleh diterima masyarakat setempat.

"Jadi kita akan pilih yang terbaik daripada terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Cheka, Jerantut dan Majlis Meraikan Pengekalan Man and Biosphere (MAB) UNESCO Tasik Chini Pahang di Hotel Swiss-belhotel di sini pada Selasa.

Hadir sama ialah Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Setiausaha Kerajaan Pahang; Datuk Seri Zulkifli Yaacob, exco-exco Pahang dan Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Abdul Wahid Abu Salim yang mewakili menterinya.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15, Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).