Batik Fun Walk 2023 kembali temui peserta Oktober ini

Nori Abdullah (tengah) bercakap dalam sidang media Batik Fun Walk 2023 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Nori Abdullah (tengah) bercakap dalam sidang media Batik Fun Walk 2023 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Acara Batik Fun Walk kembali lagi selepas kali terakhir penganjurannya pada 2019 bertempat di Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini pada 22 Oktober depan.

Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang), Nori Abdullah berkata, penganjuran kali ke-18 itu menyasarkan 3,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan memakai pakaian batik dalam acara tersebut.

Menurutnya, acara yang mendapat sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan membuat membuat perjalanan sejauh 3.8 kilometer bermula jam 6.30 hingga 11.30 pagi.

“Ia akan bermula di sini (MaTiC) dan melalui Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Perak, Jalan P Ramlee, Jalan Pinang, Persiaran Petronas dan seterusnya kembali pada titik permulaan.

“Peserta akan dikenakan yuran penyertaan iaitu dewasa sebanyak RM45 dan menerima kain batik, bagi kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun ialah RM20 (tanpa batik) manakala bawah tujuh tahun secara percuma (tanpa batik dan medal) selain individu yang berjaya menamatkan perjalanan turut layak menerima medal.

Nori Abdullah (tengah) bergambar bersama wakil penaja dan rakan strategik dalam sidang media Batik Fun Walk 2023 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Nori Abdullah (tengah) bergambar bersama wakil penaja dan rakan strategik dalam sidang media Batik Fun Walk 2023 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

"Selain itu, kami juga menyediakan hadiah bagi tujuh kategori yang merangkumi peserta paling muda, paling tua, penyertaan kumpulan paling ramai, kumpulan berpakaian batik paling kreatif, Individu berpakaian batik paling kreatif, keluarga berpakaian batik paling kreatif serta pemenang hadiah utama dan cabutan bertuah,” katanya dalam sidang media Batik Fun Walk 2023 di Mini Auditorium, MaTiC pada Selasa.

Sementara itu, mengenai penganjuran acara, Nori menjelaskan, ia membawa misi yang sama seperti tahun-tahun sebelum iaitu untuk mempromosikan batik sebagai seni warisan negara dan penggunaannya sebagai pakaian harian.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun ini, Timbalan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan akan merasmikan acara tersebut seterusnya membuat pelepasan peserta pada jam 8.30 pagi.

Tambah Nori, acara tersebut turut mendapat kerjasama MOTAC serta rakan strategik Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), MCM CoMetro 5 Pillars Venture dan MaTiC.

“Peserta yang berminat untuk menyertai boleh membuat pendaftaran di http://bit.ly/Batikfunwalk2023 atau melalui aplikasi Ticket2 - Batik Fun Walk 2023.

“Selain itu, kutipan daripada yuran penyertaan akan disumbangkan kepada Penyayang Pesakit Kanser (PPK) di Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara dan di Seri Kembangan.

"PPK turut bertanggungjawab atas program sukarelawan dan sokongan untuk para pesakit kanser dan keluarga mereka," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!