Amanah belum hantar nama bagi jawatan Speaker DUN Negeri Sembilan

MK Ibrahim. Laporan Sinar Harian.
MK Ibrahim. Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SEREMBAN - Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan belum menghantar sebarang nama bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) buat masa ini.

Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, setakat ini juga belum ada maklumat lanjut dapat dikongsikan.

"Seperti yang diketahui (Menteri Besar umum jawatan speaker akan diberikan kepada Amanah), namun saya tiada maklumat lagi.

"Sekiranya sudah ada mungkin Amanah Nasional atau sekretariat Amanah akan memanggil mesyuarat, seterusnya mengadakan perbincangan lanjut sebelum sebarang nama diputuskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pelantikan jawatan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan akan diisi oleh pemimpin daripada Amanah, manakala Timbalannya akan diwakili oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memberi keseimbangan dalam Kerajaan Perpaduan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri baru-baru ini.

Ujar Aminuddin, keputusan itu dipersetujui secara dasar oleh Kerajaan Perpaduan di negeri ini dan majlis angkat sumpah dua jawatan tersebut akan dilakukan pada 26 September ini.

Sementara itu, dalam laporan berasingan UMNO Negeri Sembilan yakin Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk berunding terlebih dahulu dengan Barisan Nasional (BN) berhubung pelantikan jawatan dua jawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor ini kerana PH dan BN adalah dua gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri ini apabila masing-masing memenangi 17 dan 14 kerusi sekali gus membentuk majoriti dua pertiga di DUN Negeri Sembilan.

Katanya, justeru adalah wajar salah satu jawatan itu diberikan kepada BN bagi mengambil kira kerjasama yang jitu di antara kedua-dua gabungan ini.