UMNO yakin PH terbuka runding jawatan Speaker, Timbalan Speaker

Mustapha
Mustapha
A
A
A

SEREMBAN - UMNO Negeri Sembilan yakin Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk berunding terlebih dahulu dengan Barisan Nasional (BN) berhubung pelantikan jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor berkata, ini kerana PH dan BN adalah dua gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri ini apabila masing-masing memenangi 17 dan 14 kerusi sekali gus membentuk majoriti dua pertiga di DUN Negeri Sembilan.

"Justeru, adalah wajar salah satu jawatan itu diberikan kepada BN bagi mengambil kira kerjasama yang jitu di antara kedua-dua gabungan ini.

"Daripada situlah juga menunjukkan bahawa gabungan ini adalah gabungan yang mantap, boleh bekerjasama, berbincang untuk mengharmonikan setiap keputusan termasuklah jawatan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mustapha yang juga Ahli Dewan Undangan (DUN) Palong berkata, kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengenai jawatan Yang Dipertua DUN diberikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) dan timbalannya kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah tanpa perbincangan dengan pihak BN.

"ADUN BN ada memohon supaya perkara ini diadakan rundingan dan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat malah yakin ia telah disuarakan oleh Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias kepada Menteri Besar.

"Kita masih ada masa (berbincang) memandangkan Persidangan Khas DUN bagi majlis angkat sumpah ADUN akan diadakan 26 September ini. Kalau tak dapat speaker, sekurang-kurangnya timbalan speaker kepada BN," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dipersetujui secara dasar oleh Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu dimaklumkan oleh Aminuddin pada sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu lalu.