'Sofea dah tak boleh bangun, hanya terbaring' - Ibu

Tuan Nur Afina Sofea kini hanya terbaring dan tidak boleh bergerak kerana terdapat ketumbuhan pada bahagian paha.
Tuan Nur Afina Sofea kini hanya terbaring dan tidak boleh bergerak kerana terdapat ketumbuhan pada bahagian paha.
A
A
A

BESUT - Tahap kesihatan kanak-kanak yang menderita barah saraf atau neuroblastoma tahap empat, Tuan Nur Afina Sofea Tuan Khalid, 9, kini semakin merosot kerana sudah tidak boleh bangun dan bergerak seperti biasa.

Ibunya, Nor Adibah Ahmad, 42, berkata, ia disebabkan terdapat ketumbuhan pada bahagian paha yang dikesan sejak dua minggu lalu.

"Dah lama kesan ketumbuhan tu tapi sekarang dia baru mengadu sakit. Sebelum ni dia boleh juga bangun untuk makan, sekarang ni dia hanya terbaring.

"Makan dan minum pun sambil baring sebab dia mengadu sakit bila nak alihkan badannya ke kiri dan kanan. Makan pun sikit sahaja," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut Nor Adibah, anaknya bongsunya itu merupakan rakan baik kepada Nik Raisya Aulia Nik Rashimie Bukhari, 5, dari Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, di Kuala Nerus yang meninggal dunia pada 9 Februari lalu akibat penyakit sama.

Tuan Nur Afina Sofea (depan) bersama ibunya, Nor Adibah (dua dari kiri); bapanya Tuan Khalid (dua dari kanan) serta kakaknya, Tuan Nur Qaseh Nasuha (tiga dari kanan); Tuan Nur Aqilah Umairah (kanan) dan abangnya Tuan Zakwan Affandi (kiri) ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini di rumah mereka di Kampung Nail, Besut.
Tuan Nur Afina Sofea (depan) bersama ibunya, Nor Adibah (dua dari kiri); bapanya Tuan Khalid (dua dari kanan) serta kakaknya, Tuan Nur Qaseh Nasuha (tiga dari kanan); Tuan Nur Aqilah Umairah (kanan) dan abangnya Tuan Zakwan Affandi (kiri) ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini di rumah mereka di Kampung Nail, Besut.

"Dulu Sofea bersama enam lagi kanak-kanak dirawat di HSNZ (Hospital Sultanah Nur Zahirah). Semua kenal rapat. Kebanyakan mereka dah meninggal dunia hanya tinggal Sofe dan beberapa lagi kanak-kanak yang sedang berjuang untuk terus bertahan sehingga kini.

"Memang rapatlah Sofea dengan adik Raisya. Dia pun tahu Raisya dah pergi dulu daripada dia dan dia pun tahu 'masanya' sudah suntuk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Afina Sofea dari Kampung Nail, Kuala Besut di sini disahkan menghidap kanser saraf sejak November 2021 dan tahap kesihatannya semakin merosot sejak pertengahan tahun ini.

Bapanya, Tuan Khalid Tuan Hamat, 44, yang bekerja sebagai nelayan kini tidak turun ke laut kerana bimbang keadaan Sofea yang semakin teruk.

Nor Adibah yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai makan juga terpaksa berhenti kerja sejak Mac lalu bagi memberi tumpuan penuh kepada anak bongsunya dari empat beradik itu.

Mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agro Bank Nor Adibah Ahmad (2006361000330941) atau BSN Tuan Khalid Tuan Hamat (1111841100071469) atau hubungi talian 011-25484775 (Nor Adibah).