UMNO didakwa 'sucikan' perjuangan Malaysia Malaysian DAP - Idris

Idris ketika berucap dalam Ceramah Kelompok Perikatan Nasional di UDM 09 Kampung Jeram, Bakri, Muar pada malam Isnin.
Idris ketika berucap dalam Ceramah Kelompok Perikatan Nasional di UDM 09 Kampung Jeram, Bakri, Muar pada malam Isnin.
A
A
A

MUAR - Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mendakwa pemimpin UMNO yang sebelum ini keras dan lantang menentang konsep Malaysia Malaysian kini seakan 'mensucikan' perjuangan DAP itu.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, UMNO adalah pihak yang paling kuat menentang konsep tersebut, namun amat mengejutkan apabila ada pemimpin UMNO mahu konsep itu digugurkan tetapi dihalang pemimpin tertinggi parti tersebut.

"Walaupun sudah 66 tahun merdeka, mereka masih memperjuangkan konsep Malaysia Malaysian. Tiba-tiba (Datuk) Nur Jazlan (Mohamed) minta gugurkan konsep Malaysia Malaysian, ada pemimpin UMNO kata itu bukan pandangan rasmi UMNO

"Ertinya yang membersihkan apa yang disebut DAP adalah pemimpin UMNO sendiri," katanya dalam Ceramah Kelompok Perikatan Nasional di Unit Daerah Mengundi (UDM) 09 Kampung Jeram dekat sini pada malam Isnin.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Sebelum ini, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, meminta DAP menggugurkan tuntutan 'Malaysia Malaysian' dan menggesa komponen PH menilai semula komitmennya yang antara lain menghapuskan sistem kuota bumiputera berikutan hujah matlamat sedemikian menghalang parti berkenaan daripada mendapat sokongan orang Melayu.

Mengulas lanjut, Idris berkata, DAP sebelum ini cuba menyembunyikan agenda Malaysia Malaysian itu tetapi apabila diminta menggugurkan konsep tersebut, tembelang mereka pecah.

"Pemimpin DAP kata jangan cuba mainkan konsep Malaysia Malaysian, apa yang penting kepada kita ialah untuk memikirkan soal pembangunan. Nampak tak, agenda dia disembunyikan tapi terus berjalan.

Artikel Berkaitan:

"Dia cuma tak uar-uarkan tapi dengan takdir ALLAH SWT, dia telah keluarkan kenyataan dengan jelas (mempertahankan konsep itu). Terima kasih kepada Anthony Loke, terima kasih kepada DAP. Dia telah mengiyakan apa yang kita sebut selama ini, menjelaskan DAP tidak akan tarik balik konsep Malaysia Malaysian.

"Bagus dan senang. Kita pun tak anggap fitnah lagi maka itulah apa yang dikatakan, apa yang mereka nak perjuangkan dan inilah yang jadi kegusaran kepada kita," ujarnya.

Idris berkata, DAP kini berada dalam Kerajaan Perpaduan dan akan buat apa yang mereka mahukan tanpa pedulikan pihak lain kerana menganggap parti itu adalah 'king maker' yang boleh menarik sokongan pada bila-bila masa.

"Mereka tak peduli lebih-lebih lagi mereka 'king maker' dalam Kerajaan Perpaduan kerana tau orang tak berani sentuh mereka. DAP memegang nyawa dalam Kerajaan Perpaduan, kalau DAP tak sokong akan jatuh kerajaan," dakwanya.

Tambahnya, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini sebenarnya adalah 'perpaduan' antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bukan perpaduan daripada orang bawahan mereka.