Peranan Anwar dalam AIM bukti usaha noktah kemiskinan - Wan Azizah

Wan Azizah
Wan Azizah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu membangunkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), jelas menunjukkan bahawa usaha menoktahkan kemiskinan telah menjadi keutamaan beliau sejak dahulu lagi.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Anwar juga pasti berbangga dengan perkembangan AIM kini yang telah mempunyai lebih 300,000 sahabat wanita seluruh negara, sekali gus membantu ramai golongan itu keluar daripada kepompong kemiskinan dan ada yang menjadi usahawan berjaya.

"AIM ini sudah agak sebati dengan saya, bermula dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh saudara Anwar, saya tahu perjuangan beliau dalam usaha membasmi kemiskinan dan memastikan pendidikan anak-anak kita menjadi keutamaan.

"Hari ini pun, apabila menjadi Perdana Menteri, beliau tetap meletakkan usaha menoktahkan kemiskinan ini sebagai fokus utama beliau,” katanya ketika berucap pada Program Rewang Merdeka AIM Wilayah Johor, di Padang Bola Sepak, Kampung Pasir dekat sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussain Syed Junid.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada pengurusan AIM kerana dari semasa ke semasa berjaya merangka dan mengendalikan institusi itu tanpa keluar daripada matlamat asal.

"Malah, saya lihat ada penambahbaikan dan program-program yang amat berguna juga dibuat untuk manfaat sahabat AIM,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berharap agar sahabat AIM turut memanfaatkan program tuisyen percuma untuk anak-anak mereka yang dilancarkan beliau baru-baru ini, kerana ia merupakan inisiatif institusi itu.

Artikel Berkaitan:

Anwar merupakan antara individu terawal yang membantu AIM dengan mengambil inisiatif menerusi Tabung Ikhtiar dalam membantu golongan wanita keluar daripada kepompong kemiskinan.

Sebelum itu, 2,500 sahabat AIM di negeri ini menghadiri Program Rewang Merdeka dengan 600 daripadanya berganding bahu menyediakan juadah nasi briani dan nasi ambeng untuk dijamu kepada semua yang hadir. - Bernama