Lautan manusia banjiri ceramah Ustaz Abdul Somad di Sabah

Ceramah bertajuk Tabligh Akbar Ustadz Abdul Somad di Padang Bandaran, Sandakan pada 31 Ogos sempena malam Ambang Merdeka. Foto: My Sabah.
Ceramah bertajuk Tabligh Akbar Ustadz Abdul Somad di Padang Bandaran, Sandakan pada 31 Ogos sempena malam Ambang Merdeka. Foto: My Sabah.
A
A
A

SHAH ALAM - Lautan manusia membanjiri ceramah pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara (UAS) dalam siri jelajahnya di beberapa buah daerah di Sabah.

Beliau memulakan ceramahnya bertajuk Tabligh Akbar Ustadz Abdul Somad di Padang Bandaran, Sandakan pada 31 Ogos sempena malam Ambang Merdeka.

My Sabah menerusi hantaran di Facebook berkata, pengunjung tidak berganjak meninggalkan tempat duduk mereka walaupun hujan lebat membasahi kawasan tersebut, bahkan semakin ramai yang hadir ke majlis ilmu itu.

Ceramah Ustaz Abdul Somad di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Jumaat. Foto: Facebook My Sabah.
Ceramah Ustaz Abdul Somad di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Jumaat. Foto: Facebook My Sabah.

“Alhamdulillah, ALLAH lancarkan ceramah tadi walaupun hujan lebat disertakan dengan angin yang kuat, tetapi pengunjung tetap tidak beredar dari majlis ilmu yang disampaikan oleh UAS,” kata seorang pengguna Facebook, Belkis Lornardgil pada Jumaat.

Majlis ilmu itu kemudiannya diteruskan di Masjid Wasatiyyah, Batu Sapi, Sandakan dan pekarangan Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Jumaat dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung.

Ceramah Perdana Ustaz Abdul Somad di Dewan Canselor, UMS, Kota Kinabalu pada Sabtu dengan tajuk ‘Peringatan Akhir Zaman: Persiapkanlah Dirimu’. Foto: Instagram @ustadzabdulsomad official.
Ceramah Perdana Ustaz Abdul Somad di Dewan Canselor, UMS, Kota Kinabalu pada Sabtu dengan tajuk ‘Peringatan Akhir Zaman: Persiapkanlah Dirimu’. Foto: Instagram @ustadzabdulsomad official.

Orang ramai dilaporkan sudah mula membanjiri ruang dewan dan padang Tuaran seawal jam 5 petang bagi memastikan mereka mendapat tempat duduk yang selesa.

Artikel Berkaitan:

Program anjuran kerajaan Sabah itu turut diselitkan dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan nasyid terkenal, Hijjaz.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isterinya, Datin Seri Julia Salag dan beberapa menteri dan timbalan menteri kabinet.

Sementara itu, Abdul Somad meneruskan ceramah perdana di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu pada Sabtu dengan tajuk ‘Peringatan Akhir Zaman: Persiapkanlah Dirimu’ sebelum bergerak ke Masjid Al-Kauthar, Tawau pada sebelah malam.

Pengunjung membanjiri ceramah Ustaz Abdul Somad di Masjid Al-Kauthar, Tawau, pada Sabtu. Foto: My Sabah.
Pengunjung membanjiri ceramah Ustaz Abdul Somad di Masjid Al-Kauthar, Tawau, pada Sabtu. Foto: My Sabah.

Rata-rata pengunjung meluahkan rasa gembira apabila menghadiri ceramah berkenaan, namun tidak kurang juga yang kecewa tidak dapat memasuki kawasan tersebut kerana tempat disediakan sudah penuh.