Bapa jual anak albino untuk dibunuh

Golongan albino di Tanzania sering diculik dan bahagian tubuh mereka diambil untuk digunakan sebagai tangkal dan ramuan ajaib dengan kepercayaan ia akan membawa kekayaan dan nasib baik.
Golongan albino di Tanzania sering diculik dan bahagian tubuh mereka diambil untuk digunakan sebagai tangkal dan ramuan ajaib dengan kepercayaan ia akan membawa kekayaan dan nasib baik.
A
A
A

DODOMA - Seorang lelaki di Tanzania ditangkap kerana menjual anak perempuannya yang berusia enam tahun semata-mata untuk dibunuh, kata polis semalam.

Polis berkata, mangsa yang juga kanak-kanak albino dibunuh bagi mendapatkan anggota badannya untuk tujuan ritual cepat kaya.

Kenyataan polis mengatakan kanak-kanak itu, Rose Japhet, dibunuh minggu lalu dan mayatnya ditemui di daerah barat daya Mbeya di rantau berlakunya pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak bagi tujuan ritual.

“Mayat ditemui dengan kepala dipenggal dan kaki kanan dipotong,” kata kenyataan itu, sambil menambah kaki itu ditemui ditanam di kawasan berdekatan.

“Motif pembunuhan ini adalah mengenai kewangan. Bapa si mati membawa anak perempuannya kepada seorang ahli perniagaan untuk dijual sebanyak lima juta shilling (RM9,000) untuk dibunuh dan kaki kanannya dipotong.”

“Kaki itu bertujuan untuk diberikan kepada dukun untuk dibuat ramuan yang boleh menjadikan beliau (bapa) kaya,” kata kenyataan itu.

Ahli perniagaan itu turut ditahan dan mengakui penglibatannya sementara polis masih memburu dukun yang terlibat.

Mbeya terletak berhampiran wilayah Njombe, di mana sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak berusia antara dua dan 10 tahun ditemui mati pada Januari yang dilaporkan media tempatan merupakan upacara pembunuhan. - AFP

Artikel Berkaitan: