MINDEF siap siaga jaga kedaulatan, perairan negara - Adly

Adly (tengah) ketika ditemui pemberita pada Program Bual Bicara Pemimpin bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan isteri di Pejabat Veteran ATM, pada Sabtu. - Foto Bernama
Adly (tengah) ketika ditemui pemberita pada Program Bual Bicara Pemimpin bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan isteri di Pejabat Veteran ATM, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa berpegang dengan apa yang termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982) dan akan menjaga kedaulatan negara berdasarkan undang-undang berkenaan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, susulan isu terbaharu berkaitan tuntutan China di Laut China Selatan, MINDEF sentiasa bersiap siaga mengupayakan aset sedia ada bagi menjaga perairan dan kedaulatan negara dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

"Yang paling penting kita di MINDEF menjaga perairan dan kedaulatan negara, itu yang kita beri tumpuan, China mungkin ada pandangan tetapi seperti disebut Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam amanat beliau, bahawa kita akan pertahankan setiap seinci tanah atau kedaulatan bumi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pejabat Veteran ATM Cawangan Muar yang turut dihadiri Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sharuddin Omar.

Kementerian Sumber Asli China pada Isnin mengeluarkan ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang meliputi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam, selain beberapa kawasan di India.

Bagaimanapun, Kementerian Luar pada Rabu berkata, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan dan peta itu sama sekali tidak mengikat Malaysia, malah kerajaan akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan negara itu.

Dalam pada itu, Adly menggesa 100,000 veteran tidak berpencen ketika ini untuk segera mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi memudahkan penyaluran bantuan.

Katanya, ini termasuk pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan kepada veteran tidak berpencen yang bermula bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Adly berkata, ia dijangka memberi faedah kepada seramai 41,970 veteran tidak berpencen dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun. - Bernama