Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2023

Terapkan nilai merdeka dalam perancangan kewangan

A
A
A

Norliza (empat dari kanan) bergambar bersama penerima penerima bakul makanan yang disediakan sempena Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN.
Norliza (empat dari kanan) bergambar bersama penerima penerima bakul makanan yang disediakan sempena Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN.



GEORGETOWN - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2023 bagi mengukuh serta menyemarakkan lagi perpaduan keharmonian masyarakat di antara kaum.

Karnival yang diadakan bersempena Hari Kebangsaan Ke-66 yang disambut pada 31 Ogos itu merupakan antara program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN yang turut menerapkan nilai-nilai kemerdekaan dalam kalangan masyarakat melalui perancangan kewangan yang mampu membebaskan mereka daripada cengkaman hutang.

Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, selari tema Hari Kebangsaan kali ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan', penglibatan masyarakat setempat dalam karnival itu merupakan simbolik kepada rasa kasih serta cinta kepada negara.

Menurutnya, beliau berharap karnival itu dapat menjadi platform bagi mengukuhkan ikatan masyarakat Malaysia berbilang kaum sekali gus meningkatkan imej positif PTPTN sebagai entiti yang berusaha ke arah membentuk perpaduan negara.

“Kemerdekaan sewajarnya difahami, bukan sekadar bebas daripada dijajah. Kemerdekaan sebenar merupakan perjuangan masyarakat untuk menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik, memiliki kekuatan jati diri serta semangat cintakan negara.

Norliza (empat dari kiri) menyertai Kayuhan Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2023 iaitu aktiviti kayuhan basikal secara berkumpulan sambil mengibarkan bendera Malaysia dan agihan sumbangan bakul makanan dari rumah ke rumah.
Norliza (empat dari kiri) menyertai Kayuhan Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2023 iaitu aktiviti kayuhan basikal secara berkumpulan sambil mengibarkan bendera Malaysia dan agihan sumbangan bakul makanan dari rumah ke rumah.



“Kemerdekaan juga membawa mesej tentang kepentingan masyarakat mempunyai perancangan kewangan yang baik untuk bebas merdeka daripada bebanan hutang,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2023 di Dewan Koperasi Sungai Gelugor, di sini pada Khamis.

Hadir sama dalam pelancaran itu ialah ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pemimpin Masyarakat Bukit

Artikel Berkaitan:


Gelugor, Datuk Omar Haji Faudzar.

Manfaat bersama PTPTN

Tambah Norliza, sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN telah menyediakan instrumen simpanan terbaik bagi menggalakkan masyarakat membuat penabungan dari usia sehari untuk masa depan pendidikan tinggi anak-anak melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Norliza (dua dari kanan) dan Ahmad Dasuki (kanan) ketika meninjau gerai pameran yang dibuka sempena Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN.
Norliza (dua dari kanan) dan Ahmad Dasuki (kanan) ketika meninjau gerai pameran yang dibuka sempena Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN.



Jelasnya, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, geran sepadan sehingga RM10,000 untuk keluarga yang layak, dividen yang kompetitif dan simpanan yang dijamin kerajaan serta patuh syariah.

“Sempena karnival ini, pelbagai aktiviti disediakan untuk disertai para ibu bapa dan anak-anak terutamanya dalam meningkatkan kesedaran penabungan.

“Antara aktiviti yang diadakan ialah Pertandingan Mewarna Merdeka Simpan SSPN, Pertandingan Puzzle Simpan SSPN, Pertandingan Pakaian Beragam dan banyak lagi,” katanya.

Norliza (tengah), Ahmad Dasuki (kiri) dan Omar (kanan) ketika melancarkan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN yang telah diadakan sempena Hari Kebangsaan pada Khamis lalu.
Norliza (tengah), Ahmad Dasuki (kiri) dan Omar (kanan) ketika melancarkan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN yang telah diadakan sempena Hari Kebangsaan pada Khamis lalu.



Selain itu, PTPTN katanya turut mengadakan pocket talk tentang kebebasan kewangan serta acara sukan rakyat yang bertujuan mengeratkan hubungan dan mendekati masyarakat setempat.

Penglibatan rakan strategik

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2023 turut dimeriahkan lagi dengan penglibatan rakan-rakan strategik PTPTN yang membuka gerai promosi dan jualan seperti Jualan Agro MADANI dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang, Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pulau Pinang.

Malah, turut membuka gerai pameran dalam karnival ini ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bayan Baru, Women Institution (WI), ERAvengers, Pertubuhan Alumni Mahasiswa Pulau Pinang (AMPP) dan Pertubuhan Sejahtera Anak Malaysia (PERSAMA).

Norliza (empat dari kiri) menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penerima.
Norliza (empat dari kiri) menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penerima.



Dalam pada itu, Norliza berkata, PTPTN tidak pernah melupakan golongan yang kurang bernasib baik apabila menyalurkan sumbangan bakul makanan berupa barangan keperluan harian kepada 30 orang penerima asnaf.

Kemuncak karnival itu, pihaknya mengadakan program Kayuhan Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2023 iaitu aktiviti berbasikal secara berkumpulan sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang selain mengagih-agihkan sumbangan bakul makanan dari rumah ke rumah.

Pengalaman pengunjung

Dalam perkembangan lain, pengunjung Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2023 ketika ditemui rata-ratanya merasa teruja kerana dapat menyertai karnival terbabit serta mengikuti pelbagai aktiviti yang diadakan.

ROSMAIZA
ROSMAIZA



Bagi Rosmaiza Mamat, penganjuran karnival berkenaan dapat memberikan mesej yang lebih jelas kepada orang ramai mengenai kepentingan mempunyai tabungan sejak dari kecil untuk kegunaan masa depan anak-anak.

“Bagi saya, kalau ada akaun SSPN daripada awal baik untuk anak-anak kita dah boleh buat simpanan dari awal. Jadi, sebagai ibu bapa bila anak dah besar dan mahu sambung belajar mereka sudah mempunyai simpanan yang kukuh dan tidak perlu bergantung kepada pinjaman,” kata penjawat awam itu.

SHAIK AIMAN
SHAIK AIMAN



Bagi pelajar, Shaik Aiman Shaik Daud pula, beliau gembira dapat mengikuti pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival diadakan.

“Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar dan bagus saya rasa program macam ini patut dibuat setiap tahun sebab dia dapat mengeratkan semua silaturahim penduduk kat sini,” ujarnya.